Menggamit percutian ala kampung

Bernama
Mac 26, 2023 05:30 MYT
Panorama menghijau dengan dikelilingi pokok hutan besar dan pokok durian pasti memberi kepuasan kepada mereka yang mendambakan suasana tenang, jauh daripada hingar bingar kehidupan kota. - Bernama
GOPENG: "Sungguh indah, tenang dan mendamaikan."
Begitulah perasaan penulis ketika menghayati panorama dari sisi jendela sebuah rumah kayu tradisional yang menggabungkan konsep Melayu dan Orang Asli di hutan Gopeng, berhampiran perkampungan suku kaum Semai di Kampung Ulu Geruntom.
Terletak kira-kira tujuh kilometer dari pekan Gopeng, panorama kanopi menghijau yang terbentang luas dengan dikelilingi pokok hutan besar dan pokok durian pasti memberi kepuasan kepada mereka yang mendambakan suasana tenang, jauh daripada hingar bingar kehidupan kota.
Ditambah pula dengan pemandangan sungai jernih dengan ikan tengas yang bebas berenang dalam persekitaran yang tiada pencemaran.
Menghirup udara segar tatkala mata dijamu dengan terbitan sinaran indah matahari awal pagi, disusuli kicauan unggas pasti mengusik kenangan lama bagi mereka yang pernah tinggal dalam suasana desa.
Penulis baru-baru ini bersama rakan nekad mengambil keputusan untuk merehatkan minda keluar daripada ibu kota ke sebuah resort atau pusat percutian di Kampung Ulu Geruntom yang menawarkan destinasi berkonsepkan kembali kepada alam atau percutian ala kampung.
Mungkin ada yang beranggapan bahawa destinasi penginapan penulis ini sama seperti yang ditawarkan pengusaha lain yang menyediakan pakej percutian bagi mereka yang rindukan nostalgia kehidupan desa.
Namun ada kelainan buat pengusaha MyGopeng Resort, apabila pemilik pusat percutiam ini bukanlah daripada kalangan orang Melayu. Beliau adalah lelaki Cina yang mempunyai impian besar untuk mengangkat dan memartabatkan keunikan seni tradisi rumah Melayu dan Orang Asli ke persada dunia.
RUMAH KAMPUNG
"Perkampungan Melayu sememangnya dekat di hati saya walaupun saya berbangsa Cina kerana saya membesar di Kampung Kupang, Baling, Kedah iaitu penempatan orang Melayu. Di situ, saya mula mengenali adat budaya orang Melayu dan berkawan rapat dengan mereka.
"Kerana rindukan suasana kampung masa membesar di sana, saya nekad membina resort seperti perkampungan di sana bagi mengimbau kembali zaman manis yang sukar diperolehi lagi ketika ini selain ingin berkongsi dengan pengunjung tempatan atau luar yang mahukan keseronokan hidup di desa," kata pemiliknya Ooi Beng Yeaw kepada Bernama.
Beliau yang berusia 63 tahun dan fasih berbahasa Melayu loghat Kedah itu berkata, resort berkeluasan kira-kira empat (4) hektar yang beroperasi sejak tahun 2007 dan mempunyai sebanyak 34 buah chalet itu tidak hanya menampilkan seni bina tradisi rumah Melayu Kedah.
Bapa kepada tiga orang anak ini turut mengintegrasikan seni bina Orang Asli pada bahagian dinding, atap dan beranda chalet sekali gus menyuntik kelainan di samping turut bertujuan menerapkan amalan hijau dengan mengetengahkan unsur alam.
Menceritakan lebih lanjut, beliau yang sebelum ini pernah berkerja sebagai kontrakor padang golf di Bidor berkata, chalet berkenaan dibina menggunakan kayu pokok bertam, keralai, buluh dan papan sepenuhnya kerana ia lebih kukuh dan tahan lama selain langsung tidak mengunakan batu-bata.
Menurut Ooi, penggunaan kayu bertam dan keralai itu juga kerana sifatnya yang sejuk secara tidak langsung memberikan keselesaan kepada pengunjung yang menginap di situ.
"Saya sendiri mahu kekalkan suasana serta alam semula jadi di sini...selain penggunaan kayu, kita turut satukan dengan elemen air iaitu kolam ikan dan sungai buatan bersaiz kecil untuk menambahkan lagi suasana tenang dan mendamaikan.
"Pelanggan kami bukan sahaja orang tempatan tetapi dari negara luar. Ada yang datang dari Singapura, China, India dan juga negara Arab, Mereka gemar bercuti ke sini ketika musim cuti panjang. Orang tempatan lebih gemar bercuti di sini ketika hujung minggu," katanya.
Bagi menyuntik lagi kehidupan kampung, Ooi berkata, pihaknya menyediakan lauk pauk menu kampung yang dimasak oleh anak jati Bidor. Makanan paling digemari pelanggan di resort ini adalah kari ayam dan asam pedas.
KEKALKAN ALAM SEMULA JADI
Bagi mendekatkan pengunjung dengan alam semula jadi dan sumber hutan, Ooi berkata, beliau akan mengekalkan tumbuhan liar dan pokok hutan di kawasan resortnya yang juga disifatkan sebagai satu tarikan unik.
"Sebagai pengusaha resort, kita juga bertanggungjawab memelihara sumber hutan dan sungai di kawasan ini bukan sekadar sebagai tarikan malah juga sebagai kelangsungan dan mengekalkan habitat sedia ada bagi fauna dan flora di sini.
"Kawasan hutan Gopeng merupakan rumah kepada Orang Asli Semai yang juga kaya dengan pelbagai flora dan fauna termasuk bunga Rafflesia iaitu bunga terbesar di dunia yang ditemui di kawasan tertentu sahaja dan kerana itu pemeliharaan ini penting bukan sahaja untuk ditunjukkan kepada orang luar tetapi juga generasi akan datang," katanya.
Selain menikmati kehidupan ala desa, di sini juga turut menjadi tumpuan dalam kalangan mereka yang gemarkan pelbagai aktiviti air memandangkan kedudukan resort yang terletak kira-kira 100 meter dari Sungai Kampar.
Penulis bersama rakan tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri aktiviti air yang paling popular ditawarkan di resort berkenaan iaitu water rafting walaupun hanya menginap dua hari dan ternyata pengalaman itu sangat mengujakan.
"Dengan bayaran berpatutan, RM130 seorang termasuk insurans, pelanggan boleh merasai sendiri pengalaman mengharungi arus jeram Sungai Kampar sejauh tujuh kilometer iaitu kira-kira dua jam 30 minit.
"Walaupun kelihatan mencabar, namun aktiviti sangat selamat dan ia menggunakan self-bailing raft (bot) dan kelengkapan keselamatan lain seperti topi keledar, jaket keselamatan dan river guide yang profesional," kata Ooi menambah terdapat juga aktiviti water confident (meningkatkan kesedaran dan keyakinan terhadap air) dan waterfall abseiling.
NIKMATI BUAH DURIAN
Menerusi pengalaman water rafting, penulis dan rakan dapat menikmati keindahan alam semula jadi sepanjang menyusuri Sungai Kampar yang kaya dengan pelbagai khazanah flora dan fauna sambil mendengar kicauan merdu unggas dan deruan air sungai yang sungguh mendamaikan.
Ooi menambah, bagi kaki pancing, mereka juga tidak terkecuali dapat menikmati keseronokan aktiviti itu di kawasan sungai berkenaan dan juga di kolam ikan yang berada di kawasan resort tersebut.
Selain itu, resort berkenaan yang turut dikelilingi pokok durian pastinya menjadi tumpuan kalangan peminat raja buah itu yang tidak akan melepaskan peluang pengalaman mengutip dan mengopek buah berkenaan ketika musim buah.
"Semasa saya ambil alih tanah ini, sememangnya sudah ada banyak pokok durian di sini, jadi saya kekalkannya. Paling istimewa apabila tiba musim buah, buah durian akan gugur dengan banyak dan saya berkongsi rezeki ini bersama pengunjung.
"Pengunjung juga berpeluang meneroka Gua Tempurung dan Gua Kandu. Gua batu kapur ini adalah antara 18 lokasi di Lembah Kinta yang diiktiraf sebagai Geotapak dan mereka boleh melihat bentuk stalagmit dan stalaktit yang berbeza-beza di dalam gua berkenaan," katanya yang turut menawarkan jurupandu untuk meneroka gua berkenaan.
PENGALAMAN
Selain penulis, pengunjung lain yang turut teruja dengan keindahan panorama di situ adalah seorang jururawat, Nor Azila Yang @ Yang Ghazali, 37, yang sentiasa menjadikan MyGopeng Resort sebagai lokasi percutian biarpun sudah beberapa kali ke sana.
"Keindahan alam semula jadi di sekitar resort itu sangat mengasyikkan. Setiap kali ada peluang (cuti), saya dan keluarga rajin ke resort tersebut kerana pelbagai aktiviti boleh dilakukan dan yang paling penting ia sesuai dengan pelbagai lapisan umur," katanya.
Sementara akauntan, Anas Basir A. Bakar, 30 pula berkata beliau memerlukan suasana damai di resort berkenaan bagi menenangkannya setiap kali tertekan dengan suasana hiruk-pikuk Kuala Lumpur.
"Konsep ala kampung di resort ini memberi peluang pada saya merasai pengalaman hidup di kampung. Ianya sangat tenang dan nyaman, tekanan juga hilang setiap kali menghirup udara segar serta pemandangan menghijau di sini," katanya.
- BERNAMA / Nurqalby Mohd Redha
#MyGopeng Resort #Orang Asli #alam semula jadi #pelancongan #kampung
;