Mengenang penyair hebat T Alias Taib

Zainal Rashid Ahmad
September 14, 2020 08:48 MYT
Antara hasil karya Pak Engku.
KAMI lalui hari-hari yang penuh dengan gebang sastera dan wanita, namun sikap baiknya yang mengaspirasikan saya.
T. Alias Taib penyair pertama mengajar saya; "Kata-kata dalam puisi mesti mampu memberikan imaginasi. Walaupun hanya kata-kata, puisi ialah foto yang bergerak dalam minda pembaca...."
Sekitar tahun 1987 hingga 1990, pada tahun-tahun awal kami berkenalan di Pasar Budaya Kuala Lumpur - Pak Engku sudah pun dikenali sebagai penyair sohor Malaysia.
Pada waktu itu, Pak Engku sudah melahirkan antologi puisi Laut Tak Biru Di Seberang Takir (1972), Pemburu Kota (1978), Seberkas Kunci (1985), Opera (1988) dan Piramid (1990).
Pak Engku akan keluar melepak setiap Sabtu dan Ahad. Kalau hujung bulan, lelaki kurus berambut ketak dan suka tersenyum ini akan muncul dengan kedua-dua tangannya menjinjing beg plastik yang dipenuhi buku-buku.
Dia memang pembaca tegar. Minatnya sangat luar biasa pada buku-buku sastera Inggeris. Biasanya, dia memborong buku-buku terpakai di kedai elit di Bangsar.
Walaupun hidup sebagai guru - dan tidak menjadi kelompok elit sarjana kampus yang sangat bongkak pada era itu - Pak Engku membaca begitu banyak buku-buku ilmiah berbahasa Inggeris.
Pada usia 20 hingga 23 tahun ketika itu, dan belum satu pun puisi pernah tersiar di penerbitan - saya tetap pendengar yang tekun setiap kali kami berbual soal sastera.
Kalau Pak Engku muncul di Pasar Budaya, banyak waktu dihabiskan berbual dengan saya atau pelukis Aris Aziz. Dia introvert yang sangat memilih teman berbual.
Dia boleh bertegur sapa dengan sesiapa saja, tetapi berbual soal sastera sesuatu yang sangat eksklusif.
Cuma Aris selalu bergegas kerana lot potretnya di Pasar Seni sentiasa dikunjungi pelanggan. Aris selalunya sibuk menyiapkan tempahan dan hanya sempat menghabiskan segelas teh sahaja.
Selebihnya, antara jam 3 petang hingga 7 malam - tiap hujung minggu - hanya saya dan Pak Engku akan duduk berdua di sudut restoran. Kami bergebang sambil menghabiskan bergelas-gelas teh.
"Pak Engku balik naik apa," tanya saya.
"Bas...," jawabnya.
"Kereta mana?" Tanya saya.
"Selalu rosak. Kereta dah tua," jawabnya.
"Jual sajalah Pak Engku. Beli saja kereta baharu," kata saya.
"Mana boleh," jawabnya: "Kereta itu buruk tetapi berisi banyak kenangan. Itulah kereta yang saya gunakan membawa isteri ke klinik dan disahkan hamil anak pertama.
"Itu kereta saya bawa isteri untuk rawatan bulanan. Itulah kereta saya bawa isteri ke hospital dan melahirkan anak-anak.
"Kereta itu buruk, tetapi penuh kenangan."
Ini kata-kata yang saya anggap puisi lisan yang indah. Saya menikmatinya.
Perasaan bahagia dan tersentuh mendengar kisah penuh kenangan seorang penyair terhadap sebuah kereta buruknya.
Kami akrab sebab selalu melepak dan minum kopi. Pak Engku pemurah ilmu - saya pula pencuri yang mahir mencopek ilmu.
Walaupun Pak Engku dianggap introvert - kami berdua sentiasa mengisi perbualan secara lepas cakap.
Waktu itu, saya kutu hippie yang selalu tidak berduit; hidup mundar-mandir dan hanya kutu-rayau.
Tapi, jurang antara penyair terkenal dengan budak jalanan yang huru-hara selalu saja mesra.
"Menulislah...," kata Pak Engku: "Cara bercakap nampak macam minat sastera."
Saya mendengarkan saja. Saya selesa mendengar, kerana selebihnya saya menikmati teh tarik berganti gelas. Selain belanja teh, rokok Dunhill Pak Engku juga berbatang-batang saya hisap.
Kami pula ada 'chemistry'. Sama ada kesabaran saya mendengar atau kepetahan Pak Engku berbual soal sastera - itu hal seni.
Selebihnya, kami tidak saling malu bercakap soal jantan. Berketik soal betina.
"Saya suka perempuan hujung meja di sana, Pak Engku. Matanya kecil dan hidung macam watak anime Jepun," kata saya.
"Hahaha," Pak Engku ketawa: "Saya suka yang tipikal melayu. Tapi kena lunak suaranya."
Kami ketawa berdekah-dekah. Budak hippie yang baru berusia 20 tahun yang tidak pernah pun merasa nikmat bercium dengan wanita, berbual penuh lagak bersama penyair sohor.
Minat sama walaupun usia berbeza. Gelas teh tidak akan sempurna kalau ditelan tanpa mengomel soal wanita. Hahahaha.
*Teh tarik dan kelas puisi
Lima tahun masa berlalu, dan pada tahun 1992 - ketika saya baru merangkak dan belajar menulis, tiap kali bertemu saya akan menghulur sehelai dua kertas bertulis puisi. Pak Engku akan memasukkan dalam beg galas.
Minggu depan dia akan muncul. Selepas memesan teh dan kami duduk di hujung meja Restoran Hameed Pasar Seni, dia akan mengeluarkan kertas puisi saya.
Sudah berconteng pen merah. Pak Engku akan komen sana-sini.
"Puisi ini kering isi dan kata-katanya bombastik. Puisi yang baik ialah akalnya, bukan ledakan emosi," katanya.
Pada satu bulan Ogos tahun 1992 - dia muncul dan bertanya; "Zainal, kamu ada hantar karya ke Sayembara Puisi Alam Sekitar?"
Saya angguk dan menjawab: "Ya ada. Saya hantar dua set."
"Ada kamu tulis puisi mengenai alam dan masa depan anak-anak?"
Saya menjawab: "Ya...."
Pak Engku mendiamkan diri. Saya pun kehairanan kerana dia tahu saya menyertai sayembara itu.
Tetapi perbualan seterusnya segera bertukar topik. Seperti biasa kami bercakap isu-isu sastera.
Pak Engku juga bercerita mengenai minatnya pada haiku Jepun. Dua minggu kemudian, saya berada di Sanggar Teater Asyik di Kuala Terengganu.
Seorang rakan mengejutkan saya dari tidur dan menunjukkan ruangan Sastera Budaya akhbar Berita Harian:
Zainal Menang Hadiah Utama. Baru saya perasan Pak Engku antara panel juri. Cuma syarat sayembara, nama penyair tidak boleh diletakkan pada teks karya. Juri akan menilai karya tanpa mengetahui nama penulisnya.
Waktu itu saya bangga bukan kerana menang hadiah utama. Saya bangga kerana T Alias Taib boleh menghidu stroke puisi saya.
Hahahahaha.
Saya melalui zaman indah bersama Pak Engku. Walaupun hanya berpanjangan duduk di kerusi restoran dan menikmati bergelas-gelas teh tarik. Kami tidak pernah bertemu di tempat lain.
Saya berhutang terlalu banyak dengan Pak Engku. Terutama hutang ilmu. Apa lagi jumlah bergelas-gelas teh tarik dan rokok Dunhill yang selalu saya kebas dan hisap tanpa henti. Selebihnya hutang teladan.
Selepas 30 tahun sejak zaman Pasar Seni, Pak Engku mengajar saya tidak kedekut ilmu dan beramahlah pada penulis muda.
Walaupun sampai sekarang - ilmu saya tidak mampu menandingi khazanah pustaka pengetahuan dan pembacaannya yang luar biasa terhadap sastera Inggeris.
*Luka hati penyair
Saya mendengar banyak ilmu dan berbaur dengan banyak juga keluh kesah Pak Engku.
Antaranya, perasaan kecil hati kerana terasa diabaikan. Pada awal tahun 2000 hingga ke hari dia meninggal dunia, kami masih bertemu di Pasar Seni. Walaupun tidak sekerap zaman 1988 hingga 1995.
Dia mengadu mengenai banyak perkara. Perasaan sedihnya kerana diabaikan. Saya fikir ia berkait rapat dengan Anugerah SEA Write.
Saya tahu, Pak Engku tidak memiliki kroni. Tanpa kroni jangan mimpi anda akan menerima apa-apa anugerah.
Di Malaysia, selalunya anugerah memerlukan kroni dan kombinasi lobi. Itu tanggapan saya.
Terutama pada tahun-tahun kesusasteraan mulai mati. Penulis hebat tidak lagi mahu hidup dengan kebesaran karya. Penulis besar mahu hidup dengan kehebatan anugerah.
Cuma, hanya sekali dua saya duduk mendengar Pak Engku berkeluh-kesah. Budak seperti saya
hanya mampu mendengar.
Memberikan nasihat tidak mungkin. Tetapi kami berkongsi rasa - cuma saya tidak menyatakan perasaan sebenar. Itu sesuatu yang amat sukar.
Pada hari saya turun ke liang lahad dan menguruskan jenazahnya pada 17 Ogos 2004, saya sempat melihat wajah bahagia seorang penyair yang telah dijemput pulang.
Penyair hebat yang 24 tahun lebih tua daripada saya. Banyak kenangan kami raikan bersama; soal sastera, soal manusia dan cita rasa mengenai keindahan wanita.
Dalam sedu-sedan di hati ketika menguruskan jenazah yang saya anggap seorang kawan, seorang bapa, seorang guru dan seorang penyair sohor, saya yakin - saya kenal T Alias Taib.
Pada saya, dalam soal anugerah - Pak Engku bersedih dan berkecil hati hanya sekadar fitrah rasa seorang penyair.
Namun, sebagai manusia - Pak Engku telah menulis begitu banyak karya-karya luar biasa.
Walaupun award bukan di tangannya - tapi karyanya kini berada di hati sastera
Malaysia.
Anugerah boleh dilobi atau dikronikan. Namun, kehebatan sebenar karya sastera, ukurannya
pasti akan ditentukan perjalanan masa.
Perjalanan masa adalah keadilan sebenar yang jujur dan tidak berdusta.
Sekarang, selepas 15 tahun pemergiannya, masa menganugerahkan kebenaran sejati. Siapa boleh nafikan T Alias Taib ialah penyair besar Malaysia?
Bahagian ini saya tidak akan ketawa. Saya bahagia kerana dapat mengenali seorang penyair
introvert yang kaya sisi budi bahasa dan hati nuraninya.
Al Fatihah buat T Alias Taib.

* Rencana ini pernah diterbitkan Kata Pilar. Disiar semula bagi siri KLWBC 2020 sebagai mengenang 16 tahun pemergian Pak Engku.
#KLWBC #Kolumnis AWANI #Pak Engku #T Alias Taib #Zainal Rashid Ahmad
;