Mengenali hiperplasia prostat benigna (BPH) penting bagi lelaki

Nizha Periaswamy
Disember 1, 2023 06:30 MYT
Keadaan ini boleh menjadi lebih buruk atau parah apabila pembesaran prostat ini berkait dengan faktor seperti jangkitan atau inflamasi. - Foto: Mayo Clinic
PROSES penuaan merupakan satu situasi yang semula jadi dan tidak boleh dielakkan bagi manusia. Masalah kesihatan tatkala melalui proses penuaan juga sesuatu yang perlu kita akur seiring dengan usia.
Walaupun ada isu kesihatan yang boleh dielakkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan baik, proses penuaan tertentu, sama sekali tidak dapat dielakkan ekoran pelbagai faktor dalaman tubuh badan itu sendiri.
Apabila seseorang lelaki menua, beberapa isu kesihatan boleh muncul, dan salah satu kebimbangan umum yang perlu diberi perhatian ialah pembesaran prostat atau dikenali sebagai Hiperplasia Prostat Benigna (BPH).
Untuk melihat perkara ini lebih mendalam, Pakar Perunding Urologi dari Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur, Dr. Goh Eng Hong sedia memberi sedikit pencerahan.
Memahami BPH dan hubungannya dengan usia
Dr. Goh mentakrifkan BPH sebagai pembesaran prostat, organ penting dalam sistem reproduktif lelaki. Kelenjar ini, terletak di sekitar bahagian bawah pundi kencing, memegang peranan penting dalam penghasilan sperma.
"Pada usia 50-an, kira-kira 30 peratus lelaki mengalami BPH, angka yang boleh meningkat kepada 80 peratus pada usia 80-an," ujar Dr. Goh. Bagi memahami atau mendiagnos keadaan ini, ia memerlukan pemeriksaan seperti pengesanan ultrasound untuk penilaian yang tepat.
Ini kerana, episod pembesaran prostat berlaku dalam kalangan lelaki apabila terdapat halangan dalam saluran ketika air kencing dikeluarkan dari pundi kencing. Ketika ini ia memerlukan tekanan yang lebih besar untuk menolak keluar air kencing. Dalam keadaan ini, pundi kencing hilang kawalan tekanan dan fungsinya untuk mengosongkan sepenuhnya air kencing tidak dapat dilakukan.
Oleh yang demikian, Dr. Goh berkata, perlunya kesedaran bagi semua orang, khususnya lelaki untuk mengenali gejala BPH agar ia dapat diagnosis awal. Dr. Goh menekankan tanda-tanda umum, termasuk kesukaran untuk memulakan atau menghentikan kencing, nocturia iaitu situasi di mana bangun pada waktu malam untuk membuang air, tidak dapat mengawal kencing, pengalaman kencing yang berpanjangan, sukar membuang air, rasa pundi kencing tidak dikosongkan sepenuhnya dan sakit semasa kencing.
"Jika berdepan dengan simptom-simptom seperti yang dinyatakan, cari pengesahan daripada profesional kesihatan untuk diagnosis yang tepat," tekan Dr. Goh.
Pengurusan gejala BPH
Dr. Goh menjelaskan perkembangan potensi gejala BPH dari semasa ke semasa atau yang boleh berlaku secara berfasa.
"Gejala boleh bertambah buruk akibat pembesaran beransur-ansur prostat," katanya.
Namun, beliau menekankan bahawa keadaan ini boleh menjadi lebih buruk atau parah apabila pembesaran prostat ini berkait dengan faktor seperti jangkitan atau inflamasi. Dalam situasi ini rawatan yang sepatutnya penting untuk mengurangkan gejala, terutamanya dalam kes yang boleh menyebabkan komplikasi sehingga memerlukan intervensi perubatan.
Jelas beliau, proses diagnosis BPH melibatkan pendekatan menyeluruh, termasuk perbincangan yang teliti dengan pesakit, penilaian sejarah perubatan, dan pemeriksaan fizikal. Diagnostik tambahan termasuk ujian air kencing dan darah, imbasan , dan uroflowmetry iaitu sejenis ujian yang mengukur kelajuan aliran air kencing dan jumlahnya. Ia untuk memeriksa jumlah air kencing yang tinggal di dalam pundi kencing.
“Bukan itu sahaja, kita juga menggunakan kamera untuk memeriksa sepanjang saluran kencing iaitu prostat dan punding kencing. Ia dikenali cystoscopy yang hanya dilakukan jika pengesahan lanjut diperlukan,” ujar beliau.
Dr. Goh berkata, masalah prostat tidak hanya tertumpu kepada pembesaran organ tersebut tetapi ada kalanya masalah lain turut boleh melibatkan gejala BPH. "Penyempitan saluran kencing, diabetes, strok, dan kesukaran tidur adalah antara keadaan yang mungkin menunjukkan gejala serupa," jelas beliau. Membezakan di antara keadaan ini menjadi penting menerusi diagnosis yang tepat agar ia dapat menjurus kepada rawatan yang sesuai.
Langkah gaya hidup untuk mengawal gejala BPH
Walaupun BPH sering dikaitkan dengan penuaan, amalan gaya hidup sihat dapat menyumbang kepada pengurusan gejala, menurut Dr. Goh. Beliau mengesyorkan agar kekal berada dalam keadaan hidrasi yang betul, pemantauan berkala diet, menjaga kebersihan diri, dan mengelakkan tabiat yang dapat memperburukkan lagi masalah kencing sebagai antara aspek penting untuk kesejahteraan keseluruhan.
Beliau juga mengakui, pendekatan rawatan untuk BPH berbeza berdasarkan keadaan dan keparahan gejala. Kes ringan mungkin memerlukan pemantauan, manakala kes yang lebih berat memerlukan ubat-ubatan untuk membantu menguruskan gejala. Intervensi pembedahan pula diperlukan untuk mengurangkan gejala dengan mengurangkan saiz prostat dan melebar saluran kencing.
Akhir sekali, Dr. Goh menasihati para lelaki yang ingin mencegah atau mengurangkan risiko pengembangan BPH yang sering berkaitan dengan penuaan agar mengamalkan gaya hidup sihat dapat menyumbang kepada pengurangan gejala.
Hidrasi yang betul iaitu meminum air yang mencukupi, pengurusan diet, dan mengatasi faktor risiko potensi seperti diabetes atau strok boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan impak BPH ke atas fungsi kencing.
“Memahami BPH adalah penting bagi lelaki ketika mereka melalui proses penuaan, dan berunding dengan pakar kesihatan memberikan lebih banyak kesedaran tentang diagnosis, rawatan, dan pengurusan gaya hidup. Pendekatan proaktif terhadap kesihatan prostat adalah kunci kepada kesejahteraan keseluruhan,” katanya.
#kesihatan lelaki #Hiperplasia Prostat Benigna #lelaki berusia #reproduktif #pundi kencing
;