Menelusuri sejarah Kuching, 32 tahun bergelar Bandar Raya

Astro Awani
Ogos 1, 2020 20:22 MYT
Kuching genap 32 tahun bergelar 'Bandar Raya' pada 1 Ogos 2020. Melihat kembali garis masa, Kuching telah melalui arus transformasi yang progresif merangkumi pembangunan fizikal dan sosial. -Gambar Ihsan Sarawak Aritok
Bermula dari hanya sebuah pekan kecil dikelilingi perkampungan Melayu, kini Bandar Raya Kuching, Sarawak diwarnai dengan pelbagai infrastruktur menarik dan bangunan ikonik.
Transformasi yang bermula sejak 32 tahun yang lalu jelas menggambarkan visi ibu negeri itu untuk menjadi sebuah bandar yang seimbang dari aspek digital dan budaya.
Menelusuri sejarah pembangunan fizikal dan keharmonian masyarakat yang kekal sehingga kini, penduduk, Jaafar Abong, 65, menceritakan kisahnya membesar di bandar raya itu.
“Bandaraya Kuching melalui perubahan yang cukup ketara. Ia boleh diibaratkan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.
“Jika dahulu, di seberang bandar Kuching, hanya terdapat penempatan masyarakat Melayu.
“Tetapi kini, pelbagai infrastruktur ikonik dapat dilihat. Contohnya, Jambatan Darul Hana, Dewan Undangan Negeri yang baharu dan masjid terapung yang kini menjadi tarikan khasnya buat para pelancong,” kongsinya bersama Astro AWANI.
Tambah Jaafar, ulang tahun ke-32 Kuching sejak ia diisytiharkan berstatus ‘bandar raya’ pada 1 Ogos 1988 amat menggamit nostalgia buat dirinya.
Ujar anak jati Sarawak ini, arus transformasi bandar itu amat pesat dan landskapnya berubah 360 darjah.
Struktur penempatan masyarakat di situ walau bagaimanapun katanya masih dikekalkan sehingga ke hari ini.
“Di seberang sungai terdapat sebuah penempatan yang dikenali sebagai kampung Gersik. Majoriti penduduk adalah berbangsa Melayu.
“Struktur rumah mereka dibina menggunakan kayu belian dan kayu nibong. Struktur rumah sangat kuat kerana ia dibina berdasarkan struktur ‘rumah palang kayu’.
“Tidak sama seperti sekarang di mana kebanyakannya dibina menggunakan batu konkrit,” tambah beliau.
Kembali pada garis masa ketika zaman pemerintahan James Brooke, kata Jaafar, Kampung Gersik dipenuhi dengan pedagang dari India, China, Pakistan dan Indonesia.
Ini kerana, kawasan itu dahulunya berfungsi sebagai pelabuhan.
Jelas Jaafar, Kedatangan pedagang ke pelabuhan yang dikenali sebagai ‘Cochin’ tersebut secara tidak langsung menambah populasi penduduk di bandar raya itu.
Bercerita lanjut, secara harfiahnya, situasi kemunculan pedagang-pedagang dari serata dunia itu secara tidak langsung merancakkan lagi ekonomi Sarawak. Ini dapat dibuktikan dengan kewujudan India Street dan Carpenter Street.
“Jika anda melalui sekitar kawasan tebingan Kuching, terdapat sebuah restoran dikenali sebagai James Brook Bistro yang dahulunya merupakan tapak stesen minyak tertua.
“Mod pengangkutan utama masyarakat ketika itu pula adalah perahu tambang dan kereta api,” kata beliau.
Mendalami sejarah itu, Jaafar mengambarkan terdapat sebuah kereta api tujuh gerabak dari kawasan ‘Market Street’ yang mula beroperasi sejak Ogos 1915.
Katanya, teknologi itu dibawa ke Sarawak oleh Rajah Charles Vyner Brooke.
Namun kini, generasi muda tidak berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman menaiki kereta api tersebut kerana operasinya telah dihentikan sepenuhnya dan diganti dengan infrastruktur jalan raya.
Beliau menambah, laluan bersejarah itu kini diabadikan dengan nama Jalan Kereta Api.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #Bandar Raya Metropolis #Jaafar Abong #James Brooke #Kuching #Sarawak #Sejarah Kuching
;