Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan semakin dirasai dengan penganjuran pelbagai acara menarik, antaranya Merdeka Paddle Day 2019.

Acara anjuran Kelab Tasik Putrajaya (KTP) itu melibatkan 62 peserta yang mendayung mengelilingi Tasik Putrajaya sejauh 12 kilometer, di sini pada Sabtu.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim yang juga Pengerusi KTP berkata acara yang masuk tahun kedua itu diadakan bertujuan untuk mengajak rakyat Malaysia pelbagai bangsa khususnya ahli KTP untuk menghargai kedaulatan negara.

"Lebih menarik, tahun ini ada juga ekspatriat yang menyertai acara ini untuk kita tunjukkan keindahan negara kita.

"Saya nampak peserta secara keseluruhannya sangat teruja lebih-lebih apabila mereka mengibarkan Jalur Gemilang di sepanjang laluan dan bersorak setiap kali lalu di bawah jambatan," katanya kepada Bernama.

Aminuddin berkata dayungan yang bermula di KTP itu melalui pelbagai lokasi menarik di sekitar Putrajaya seperti Masjid Putra, Jambatan Putra, Jambatan Seri Gemilang, Marina Putrajaya, Anjung Floria, Monumen Alaf Baru dan Jambatan Seri Wawasan.

Katanya sebanyak tiga jenis sukan air terlibat dalam acara kali ini iaitu kayak dengan 36 peserta, perahu panjang (20 peserta) dan luncur air kayuh berdiri (enam peserta).

"Luncur air kayuh berdiri ini adalah sesuatu yang baharu di Putrajaya dan ia sangat menarik jadi saya fikir untuk membawa sukan ini sebagai sebahagian daripada aktiviti KTP.

"Untuk aktiviti air seperti ini kita tidak boleh melibatkan terlalu ramai peserta bagi memudahkan kawalan keselamatan," katanya.

Aminuddin berkata secara keseluruhannya acara itu berjalan lancar dengan kesemua peserta berjaya menamatkan dayungan antara dua hingga tiga jam dengan dikawal selia oleh urus setia KTP dan Polis Marin.

-- BERNAMA