Menang RM30: Apakah hadiah sukan berbasikal junior di luar negara?
Madiha Abdullah
April 13, 2016 18:43 MYT
April 13, 2016 18:43 MYT
Juara Kriterium JCM hanya menerima RM30, dan disifatkan tidak munasabah.Foto/Facebook Junior Cycling Malaysia
KETIKA ramai yang memperkatakan isu wang kemenangan yang diberikan kepada peserta dan pemenang Kriterium Junior Cycling Malaysia (JCM), ada baiknya jika kita melihat perkara ini berdasarkan amalan yang dipraktikkan di negara luar.
Ironinya, ketika isu ini heboh menjadi topik perbualan netizen, hakikatnya acara berbasikal dalam kalangan peserta kanak-kanak di luar negara secara umumnya, tidak menyediakan sebarang hadiah berbentuk wang tunai.
AUSTRALIA
Tiada hadiah wang bagi acara berbasikal untuk peserta bawah 17 tahun.
Merupakan antara negara yang popular dengan acara pertandingan berbasikal, ia menjadi penganjur untuk pelbagai pertandingan seumpamanya tidak kira di peringkat daerah, negeri atau wilayah, antaranya adalah Australia dengan Shepparton Junior Tour, Canberra Junior Tour dan The Lincoln Grand Prix.
Pertubuhan Berbasikal Australia menetapkan syarat bahawa hadiah berupa wang (cash prize) tidak boleh diberikan kepada peserta di bawah 17 tahun, tidak kira dalam kategori apa sekalipun.
UNITED KINGDOM
Banyak pertandingan dan acara berbasikal kategori junior tidak diberikan hadiah wang, sebaliknya hanya pingat (medal) dan sijil.
Pencarian di internet mendapati hanya satu acara yang memberikan hadiah wang kepada pemenang kategori junior, iaitu Yorkshire Urban Cycling Festival.
Hadiah yang disediakan untuk pemenang tiga tempat teratas kategori belia adalah sekitar £10 (RM55) dan £20 (RM120). Manakala untuk kategori bawah 12 tahun, tiada hadiah wang tunai disediakan.
AMERIKA SYARIKAT
Lebih gemar memilih prize basket sebagai pertaruhan buat pemenang. Hanya acara berbasikal anjuran Bikeable Communities yang menawarkan hadiah wang kepada pemenang kategori junior.
Hadiah wang tunai yang disediakan adalah dalam lingkungan AS$50 (RM193) - AS$100 (RM387).
Sementara itu, di media sosial hari ini isu hadiah kepada pemenang Kriterium Junior Cycling Malaysia (JCM) menjadi bualan apabila juaranya hanya menerima RM30, yang disifatkan ramai sebagai tidak munasabah.