Membaca di bilik misteri, seram, tarikan baharu Kuantan 188

Bernama
Disember 21, 2023 17:12 MYT
Pengunjung membaca buku misteri di sebuah bilik misteri dengan suasana seram yang direka khas antara tarikan baru di menara kedua tertinggi di Malaysia, Kuantan 188. - Bernama
KUANTAN: Membaca buku misteri di sebuah bilik misteri dalam suasana 'seram' antara tarikan baharu menara kedua tertinggi di Malaysia, Kuantan 188 di sini, sempena cuti sekolah.
Bilik itu, yang terletak di ruang legar menara berkenaan menempatkan buku berbahasa Melayu dan Inggeris nukilan penulis genre seram dan misteri terkenal seperti Ramlee Awang Murshid, John Connolly, Derek Landy dan Stephen King.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) Nor Zahira Muhammad Azmi berkata bilik berkonsep misteri dan seram itu yang dibuka secara percuma bermula hari ini hingga hujung tahun ini, antara lain bertujuan menerapkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
"Buku terlibat dibawa dari Perpustakaan Awam Sultan Ahmad Shah di sini dan genre seram serta misteri dipilih kerana kita mendapati buku sedemikian antara buku yang paling banyak menjadi pilihan pengunjung di perpustakaan," katanya.
Nor Zahira berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PPAP dan Kuantan 188 yang diwakili Pengurus Besarnya Khalisa Azman pada Majlis Perasmian Program Mystery Books di menara itu di sini hari ini.
Buku di bilik itu bagaimanapun tidak dibenarkan dibawa pulang, namun jika berminat, pengunjung boleh ke perpustakaan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari menara tersebut untuk proses pinjaman, katanya.
Konsep bilik misteri itu mula diperkenalkan di perpustakaan awam di Bentong dekat sini dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung khususnya golongan remaja kerana dikatakan memberi lebih penghayatan terhadap bacaan.
-- BERNAMA
#bilik membaca #kuantan 188 #tarikan baharu #bilik seram
;