Memahami sel tumor kanser payudara bersifat agresif

Nizha Periaswamy
Oktober 14, 2024 16:55 MYT
Tumor jenis agresif umumnya dikesan dalam kanser payudara ialah triple-negative dan HER2-positive, yang mana selalunya lebih sukar dirawat, menjadikan diagnosis awal dan tindakan segera kritikal. - Gambar hiasan
BULAN Oktober mengingatkan kita kepada Pink October, iaitu bulan yang didedikasikan untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara. Dalam memahami dan mendalami kesedaran mengenai kanser payudara, adalah penting untuk kita turut mengenali sejenis aspek penyakit kanser ini, iaitu tumor kanser agresif.
Niat untuk mengupas lanjut mengenai tumor jenis agresif ini wujud apabila ramai yang dikesan dengan kanser payudara, sama ada terus dikesan pada tahap ketiga atau keempat, ada pula, dikesan pada tahap kedua tetapi dalam masa singkat, iaitu beberapa bulan sahaja, boleh mencapai tahap empat.
Jelas, sel tumor kanser ini sejenis yang bukan sahaja membesar dengan cepat tetapi ia juga tidak langsung memberi masa kepada pesakit untuk menerima hakikat kesihatan mahupun diberi masa untuk mendapatkan pendapat kedua atau ketiga.
Dalam keadaan ini, pesakit hilang peluang untuk mendapatkan rawatan awal apatah lagi untuk diselamatkan. Keadaan ini juga menyukarkan pesakit dan ahli keluarga tersayang untuk diberikan masa kerana segalanya berlaku dalam sekelip mata.
Pakar Bedah Payudara & Endokrin Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Harjit Kaur dalam satu temu ramah berkata, ujian saringan secara kerap, sebaiknya secara tahunan atau jika pesakit menemui sesuatu yang abnormal pada payudara atau kawasan sekitar ketiak, sebagai satu-satunya langkah pencegahan dan kenal pasti awal yang boleh dilakukan.
“Ia memang satu situasi yang menyukarkan, dan kepada pesakit, menderitakan. Tetapi kita kena akur dengan kewujudan sel kanser tumor agresif yang tidak memberikan kita masa yang banyak,” katanya.
Menurut beliau, tumor jenis agresif umumnya dikesan dalam kanser payudara ialah triple-negative dan HER2-positive, yang mana selalunya lebih sukar dirawat, menjadikan diagnosis awal dan tindakan segera kritikal.
Jelasnya, sel kanser ini berkembang pesat cenderung merebak dengan cepat, dan adalah penting untuk membezakannya daripada jenis yang lebih biasa.
Jenis kanser agresif ini termasuk boleh dibahagikan kepada:
"Tahap keburukan kanser payudara yang berkembang pesat ini sebahagian besarnya bergantung kepada biologinya (sel kanser itu sendiri).
"Kanser payudara HER2-negatif hormon-positif secara amnya kurang agresif, tumbuh lebih perlahan dan lebih mudah untuk dirawat. Tetapi kanser payudara triple-negatif memerlukan pelan rawatan yang komprehensif kerana kecenderungannya untuk berulang, " jelas Dr Harjit. "
Petanda yang paling membimbangkan bagi kanser payudara agresif adalah pertumbuhan tumor yang pesat dan cepat. Dr. Harjit menekankan kepentingan pemeriksaan diri, kerana kemunculan ketulan secara tiba-tiba, perubahan dalam tekstur kulit (seperti penampilan kulit oren), atau penarikan balik puting (penampilan puting payudara terbalik) boleh menjadi petunjuk awal tumor yang berkembang pesat.
"Di hospital, kami tidak menjalankan ujian genetik secara rutin melainkan terdapat sejarah keluarga," kata Dr Harjit. Mutasi BRCA1 dan BRCA2 adalah penanda genetik biasa yang dikaitkan dengan risiko kanser payudara dan ovari yang lebih tinggi. Kanser payudara positif HER2 juga dikenal pasti melalui biopsi.
"Kehadiran mutasi ini boleh menjejaskan keupayaan tubuh untuk membaiki DNA, yang membawa kepada kanser yang lebih agresif," tambahnya.
Di luar genetik, pilihan gaya hidup seperti obesiti, kurang aktiviti fizikal, merokok dan pengambilan alkohol yang berlebihan antara faktor yang boleh meningkatkan kerentanan kepada kanser. Pemakanan yang seimbang, senaman, dan pengurusan tekanan adalah penting dalam mengurangkan risiko ini.
Diagnosis dan rawatan tumor agresif
Walaupun sel tumor kanser agresif dilihat abnormal atau satu situasi unik, tetapi cara mendiagnosis adalah mengikut prosedur yang sama seperti untuk kanser jenis lain. Ini termasuk pemeriksaan klinikal, mamogram, ultrasound dan biopsi.
Bagaimanapun, Dr Harjit menekankan kepentingan untuk bertindak pantas setelah kanser dikesan agar pihak hospital atau kesihatan dapat mengenalpasti tahap keparahan kanser itu dan rawatan yang boleh digunapakai. "Rawatan mesti bermula secepat mungkin, selalunya bermula dengan kemoterapi untuk mengecutkan tumor sebelum pembedahan, " jelasnya.
Kanser HER2-positif boleh dirawat dengan terapi sasaran seperti Herceptin dan Pertuzumab, yang secara khusus menyekat protein HER2.
"Terapi ini didapati meningkatkan kadar kelangsungan hidup dengan ketara, menghalang kanser daripada merebak dengan cepat," ujar Dr Harjit.
Untuk kanser payudara triple-negatif pula, pilihan rawatan adalah kemoterapi kerana ia tidak bertindak balas terhadap terapi hormon. Walau bagaimanapun, kemajuan dalam imunoterapi, menunjukkan harapan dengan menyekat protein yang menghalang sel imun daripada menyerang sel kanser.
Kepentingan Pengesanan Awal
"Pengesanan awal adalah kunci untuk meningkatkan hasil rawatan, terutamanya untuk kanser yang agresif," Dr Harjit menekankan sekali lagi. Pemeriksaan rutin dan pemeriksaan sendiri boleh mengesan kewujudan kanser lebih awal, mengurangkan keperluan untuk rawatan invasif. "Adalah penting bagi wanita untuk terus berwaspada, terutamanya mereka yang mempunyai sejarah keluarga atau kecenderungan genetik," nasihatnya.
Kemajuan terkini yang ketara dalam bidang imunoterapi dan rawatan bersasar untuk kanser yang berkembang pesat merupakan satu berita yang baik.
"Ubat-ubatan baharu terus dibangunkan dan diuji dalam ujian klinikal, menawarkan harapan bagi pesakit melawan segala bentuk kanser payudara yang agresif ini," kata Dr. Harjit yang turut memberi kata semangat.
Sokongan untuk Pesakit
Rawatan bagi kanser payudara agresif ini boleh menjadi satu perjalanan yang panjang dan sukar. Dr.Harjit akui dan menekankan kepentingan sokongan ahli keluarga pada waktu-waktu genting seperti ini.
"Rawatannya adalah agresif, dan pesakit mungkin memerlukan bantuan dengan tugas termasuk tugas hakiki harian mereka. Seperti yang saya selalu sarankan kepada ahli keluarga pesakit saya, jika mereka menawarkan sokongan yang tidak berbelah bahagi, ia boleh membawa satu perbezaan yang besar kepada emosi pesakit sekali gus memudahkan penyembuhan atau pemulihan," katanya menyudahi temu bual.
Memandangkan Pink October terus menjadi satu kempen untuk meningkatkan kesedaran terhadap kanser payudara, penting untuk kita semua saling memahami kepentingan pengesanan awal dan rawatan segera, terutamanya apabila berhadapan dengan sel tumor kanser payudara yang agresif.
Jika anda mengalami sebarang kelainan di kawasan payudara atau kulit sekitarnya, jangan berlengah, segera lawat hospital atau doktor berdekatan dan dapatkan rawatan yang diperlukan. Sentiasa awasi perbezaan atau kelainan yang wujud di tubuh badan anda demi mencegah atau melindungi daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini.
#kanser payudara #rawatan #kesihatan #wanita #dr harjit kaur #pink october
;