Mekanik dapat hidayah peluk Islam

Bernama
Julai 9, 2017 07:36 MYT
Daniel Haikal Ng Abdullah (duduk, kiri) melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik (kanan), pada majlis pengIslaman saudara baharu hari ini. --fotoBERNAMA
Pergaulan dan hidup dalam komuniti Melayu sejak kecil menjadi pendorong kepada Ng Kah Wai, 29, untuk mendalami Islam.
Beliau dari Malim di sini yang memeluk Islam pada Ahad dan menggunakan nama Daniel Haikal Ng Abdullah berkata niatnya untuk memeluk Islam terbit sejak lebih 10 tahun lepas namun ia semakin menebal sejak sebulan lalu sebelum mengambil keputusan berjumpa dengan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Cawangan Melaka.
Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata beliau telah bersiap sedia secara fizikal dan mental untuk menjadi seorang Muslim yang mematuhi Rukun Iman dan Rukun Islam walaupun sebelum ini beliau tidak pernah mempraktikkan salah satu rukun berkenaan seperti berpuasa.
"Saya sebelum ini belum lagi belajar sembahyang atau puasa penuh, tetapi saya yakin akan dapat melakukannya kerana saya benar-benar telah bersedia dan niat ini tidak didorong mana-mana pihak.
"Apa yang penting pada saya adalah sokongan daripada Macma dan rakan Islam atau Mualaf yang lain untuk bersama-sama melalui kehidupan baharu," katanya kepada pemberita selepas majlis pengislamannya.
Daniel Haikal Ng melafazkan kalimah syahadah di hadapan Pengerusi Macma, Lim Jooi Soon dan Penaung Macma Melaka, Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik.
Pekerja mekanik inI berkata beliau bernasib baik kerana keluarga dan adik-beradiknya yang lain tidak membantah niatnya untuk memeluk Islam sebaliknya memberi sokongan kepadanya.
Beliau berkata beliau akan mengikuti kelas fardu ain, mengaji dan kelas agama untuk meningkatkan ilmu agamanya agar dapat menjadi seorang Muslim yang sempurna.
Sementara itu Abdul Rahim berkata semua agensi, jabatan atau badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) perlu menggerakkan strategi pendakwahan serta menjaga kebajikan saudara baharu yang memeluk Islam secara lebih efektif.
Beliau berkata usaha berkenaan adalah bagi mengelak saudara baharu berasa terpinggir atau tersisih kerana mereka memerlukan sokongan dan bimbingan yang lebih agar dapat meneruskan kehidupan baharu sebagai Muslim.
-- BERNAMA
#Daniel Haikal Ng Abdullah #hidayah #mekanik #Ng Kah Wai #peluk islam #Persatuan Cina Muslim Malaysia
;