MDV komited anjur program CSR berunsur STEM untuk golongan kurang berkemampuan

Astro Awani
Januari 11, 2025 10:24 MYT
Program CSR Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) itu menyokong aspirasi kerajaan dan MOSTI untuk membudayakan STEM dalam kalangan generasi muda.
KUALA LUMPUR : Berpegang kepada prinsip bekerja sambil beramal, Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) baru-baru ini menganjurkan satu lawatan sambil belajar ke Petrosains melibatkan 35 kanak-kanak dari latar belakang kurang berkemampuan dari Yayasan Chow Kit (YCK).
Lawatan separuh hari yang diadakan pada 14 Disember 2024 itu turut disertai tujuh orang fasilitator dari YCK serta 40 kakitangan dan keluarga MDV yang tampil sebagai sukarelawan untuk membimbing dan beramah mesra dengan para peserta dari YCK.
Lawatan sambil belajar itu merupakan antara program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MDV yang dijalankan pada setiap akhir tahun serta bertujuan untuk menyokong aspirasi Kerajaan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membudayakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda.
Usaha berkenaan dijangka dapat memupuk minat dan membangkitkan rasa ingin tahu terhadap sains dan teknologi sekaligus mendorong kanak-kanak yang terlibat untuk lebih peka dan teruja dengan pengalaman pembelajaran secara praktikal.
Menariknya mengenai program ini ialah MDV telah mengaturkan aktiviti demonstrasi serta bengkel sains oleh pasukan Petrosains yang dianjurkan khas untuk para peserta dari YCK. Acara pagi itu dimulakan dengan demonstrasi sains melalui eksperimen pembakaran, di mana semua kanak-kanak berpeluang untuk memerhati dan mempelajari asas pembakaran dan tindak balas kimia.
Aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan konsep saintifik asas, tetapi turut mencetuskan interaksi positif antara fasilitator dan para peserta, menjadikan sesi tersebut lebih menarik dan berkesan.
Selain eksperimen pembakaran, para peserta juga diberikan peluang untuk mempelajari cara penghasilan ais krim menggunakan kaedah penurunan titik beku ataupun freezing-point depression. Kaedah ini menggunakan ais batu dan garam untuk membekukan cecair untuk menghasilkan ais krim.
Aktiviti ini bukan sahaja dinanti-nantikan oleh peserta kanak-kanak malah para sukarelawan sendiri. Dengan bimbingan oleh fasilitator dari Petrosains, kesemua peserta berjaya membuat ais krim mereka sendiri dan hasilnya telah mengukir senyuman pada wajah semua kanak-kanak yang kemudiannya menikmati ais krim buatan mereka sendiri itu.
Selepas makan tengah hari, para peserta kemudiannya dibawa melawat ke sekitar pusat pameran Petrosains di mana mereka telah didedahkan kepada pelbagai aktiviti menarik yang tersedia merangkumi pelbagai aspek STEM.
Pengalaman menyantuni anak-anak dari YCK semasa lawatan sambil belajar ini merupakan satu pengalaman yang amat berharga buat seluruh warga MDV yang terlibat. MDV terus komited untuk memberi impak yang bukan sahaja bermanfaat kepada kanak-kanak tetapi juga dalam mewujudkan semangat kerjasama dan keprihatinan dalam kalangan komuniti sekitar.
#MDV #CSR #Kanak-kanak #golongan kurang berkemampuan #STEM #PETROSAINS
;