MCG2018: Kathi juara FIFA 18, bawa pulang RM15,000

Mariah Ahmad
Januari 14, 2018 23:01 MYT
Kathireswaran Sugumaran (empat dari kiri) menjuarai acara FIFA 18 kejohanan e-sukan Malaysia Cyber Games 2018 (MCG) pada Ahad dan membawa pulang wang tunai RM15,000. - Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Pemain profesional Kathireswaran Sugumaran menjuarai acara FIFA 18 pada kejohanan e-sukan Malaysia Cyber Games 2018 (MCG) pada Ahad.
Kathireswaran atau senang dikenali sebagai Kathi turut membawa pulang RM15,000 melalui kemenangannya itu dalam pusingan terakhir FIFA 18 MCG.
“Pada mulanya, saya kalah pada pusingan pertama, namun saya meraih kemenangan pada pusingan seterusnya menerusi tendangan penalti.
“Kemudian, menerusi perlawanan ketiga, saya memilih pasukan Atlético Madrid kerana saya selesa bermain menggunakan pemain-pemain dalam pasukan itu.
"Hasilnya, saya dapat kalahkan Fenrir (Luqman Haziq),” katanya selepas selesai perlawanan akhir FIFA 18 MCG yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Kathi berkata, kemenangan itu sangat bermakna buatnya kerana dia pernah tewas di tangan Fenrir dalam kejohanan atas talian pada minggu lalu.
BACA: Walaupun saya tak faham E-Sukan, demi anak muda kita tetap sokong - PM Najib
Fenrir yang berada di kedudukan kedua kejohanan membawa pulang wang tunai RM10,000 manakala Shige (Boon Shin) daripada pasukan Fire Dragoon sekadar meraih tempat ketiga dan membawa pulang RM5,000.
Buka penyertaan pemain luar negara
Sementara itu, Kathi berharap penyertaan MCG pada tahun hadapan dapat dibuka kepada pemain antarabangsa memandangkan permintaan yang tinggi.
“Ramai kawan saya daripada Singapura dan Indonesia mahu sertai MCG. Jadi saya harapkan MCG menjadi satu kejohanan antarabangsa,” katanya.
MCG yang berlangsung sejak Sabtu disertai lebih 1,000 peserta menerusi sembilan jenis permainan video popular di negara ini termasuk FIFA 18.
Kejohanan ini menawarkan hadiah wang terkumpul sebanyak RM300,000.
#arena maya #e-sukan #Esukan #fifa 18 #Kathireswaran Sugumaran #mcg
;