MBKS bangunkan aplikasi QMUNITY bantu hindari COVID-19
Astro Awani
April 8, 2020 19:54 MYT
April 8, 2020 19:54 MYT
Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan kerjasama JT Utama Sdn. Bhd. dan ARX Media Sdn. Bhd. membangunkan aplikasi QMUNITY bagi tujuan menghindari COVID-19.
Bagi seseorang individu yang mendaftar pada aplikasi ini, pergerakan mereka mudah dikesan termasuk pernah pulang dari luar negara, melawati kawasan yang diketegorikan sebagai zon merah dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, aplikasi tersebut juga memberi maklumat terkini lokasi yang diisytiharkan sebagai zon merah, jingga mahupun hijau.
Dengan ini, aplikasi itu dapat membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengesan pengguna berdaftar dengan mudah untuk tujuan keselamatan.
Menurut Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng, antara kelebihan lain aplikasi ini ialah pelayar boleh mengetahui kondisi kategori sesuatu kawasan sama ada dikategorikan sebagai zon merah atau hijau.
Katanya, ini boleh memberi kelebihan pengguna aplikasi untuk mengambil langkah berjaga-jaga
“Kita membangunkan sistem pengesanan baharu bagi melengkapkan apa yang kerajaan negeri lakukan. Saya harap ini akan dapat kita teruskan,” katanya pada majlis pengenalan aplikasi tersebut di Kuching pada Rabu.
Dalam pada itu, aplikasi ini turut akan dibangunkan dengan ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) dan mesra pengguna.
Kata Hong Seng, pengguna turut dibekalkan dengan maklumat terkini berkenaan COVID-19 di seluruh negara dan Sarawak khasnya.
“Jika COVID-19 berakhir nanti ia (Qmunity) akan menjadi sebahagian komponen bandar pintar. Segala maklumat termasuk pengecaman wajah tidak akan terbazir,” tambahnya.
QMUNITY dibangunkan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) majlis perbandaran itu.
Ia boleh dimuat turut melalui Google dan Apps Store mulai Jumaat ini.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#COVID-19
#CSR
#Datuk Wee Hong Seng
#Kuching
#MBKS
#QMUNITY Apps
#Sarawak