Maurice Tillet, inspirasi di sebalik watak Shrek

Ridauddin Daud
September 19, 2020 09:04 MYT
Kemasyhuran Maurice dikatakan menjadi inspirasi di sebalik watak Shrek, berfizikal seperti raksasa namun mempunyai hati mulia. - Foto Facebook
MINGGU lepas, Astro AWANI membawa anda mengenali Sonam Wangchuk, inspirasi di sebalik watak Ranchoddas atau Phunsukh Wangdu dalam filem Hindi, 3 Idiots.
Kali ini, kami membawa anda mengenali ahli gusti profesional dari Perancis pada tahun 1940an, Maurice Tillet yang dikatakan merupakan inspirasi di sebalik watak animasi popular, Shrek.
Shrek adalah makhluk berwarna hijau, digelar raksasa atau ‘ogre’ oleh manusia dan kemudiannya berkahwin dengan seorang puteri, begitulah lebih kurang sinopsisnya.
Berbalik kepada kisah Maurice, banyak pihak mendakwa kisah raksasa berwarna hijau itu diinspirasikan daripadanya kerana wajahnya benar-benar hampir menyerupai Shrek.
Dilahirkan di Rusia pada 1903, Maurice lebih dikenali dengan nama ‘The French Angel’ ketika bergusti dan kariernya juga berjalan dengan sangat lancar, menjadi antara penggusti terkuat dan popular pada zaman itu.
Maurice dilahirkan dalam keadaan normal namun ketika usianya mencecah 17 tahun, kepala, dada, tangan dan kakinya mula menjadi semakin besar akibat satu penyakit digelar ‘acromegaly’.
Pada waktu itu, dia tidak mengetahui penyakitnya dan hanya pada usia 19 tahun, barulah dia disahkan menghidap penyakit itu.
Dari seorang lelaki yang normal, fizikal Maurice kemudiannya mula berubah dan menyebabkan orang mula menggelarnya raksasa.
Sebelum bergelar ahli gusti, Maurice pernah berkhidmat sebagai tentera laut selama lima tahun namun berhenti kerana berasa bosan.
Kariernya sebagai ahli gusti bermula pada 1936 apabila jaguh dari Lithuania, Karl Pojello ternampak Maurice di Paris.
Pada saat itu, Karl terus tertarik dengan Maurice dan berasakan ‘wajah menariknya’ boleh dijadikan sensasi dalam arena gusti. Maka, bermulalah kisah baru dalam hidup Maurice.
Selepas berlatih beberapa tahun, ‘The French Angel’ beraksi kali pertama di atas gelanggang pada tahun 1939 di England, menggunakan nama ‘The Angel’, nama panggilan diberikan ibunya.
Nama-nama lain yang dicadangkan kepadanya sangat tidak bersesuaian termasuklah ‘Manusia Paling Hodoh di Dunia’. Gerakan utama dan istimewanya adalah ‘Bear Hug’ dan ia masih digunakan sehingga kini.
Penghujung 1939, nama Maurice mula mekar dan kemudiannya pada Januari 1940, dia bergusti secara profesional pula di Amerika Syarikat. Di sana, Maurice terus menjadi bintang.
Bermula di sana jugalah, saintis mula perasan keistimewaan fizikal Maurice dan memohon untuk menjalankan kajian kepadanya kerana mereka hairan, pesakit acrogemaly lazimnya hidup tidak melebihi usia 30 tahun.
Dan Maurice bersetuju. Selepas diperiksa, saiz kepalanya dua kali ganda lebih besar daripada saiz manusia biasa dan tangannya juga jauh lebih besar daripada lelaki normal.
Tidak langsung terkesan dengan perbezaan fizikalnya, kehebatan Maurice terus ‘menjajah’ arena gusti Amerika. Rekodnya, 19 bulan tanpa kalah, hanya tewas pada 1942 kepada Steve Casey.
Tahun-tahun berikutnya, dia terus menawan Amerika. Walaupun popular namun kerana fizikalnya yang agak berbeza, dia sering menjadi tumpuan umum - membuatkannya lebih gemar hidup bersendirian.
Kawan karibnya adalah individu yang membawanya ke arena gusti, Karl dan mereka tinggal sebumbung di rumah Karl bersama isterinya, Olga.
Karl meninggal dunia pada 1954 dan selepas diberitahu kematian rakan karibnya itu, kesihatan Maurice merosot dan akhirnya meninggal dunia 13 jam selepas pemergian rakannya itu.
Mayat mereka ditanam sebelah-menyebelah di atas tanah milik keluarga Karl di Lithuania.
Kemasyhuran Maurice dikatakan menjadi inspirasi di sebalik watak Shrek, berfizikal seperti raksasa namun mempunyai hati mulia.
Begitupun, DreamWorks, studio yang menghasilkan watak tersebut tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan itu.
Bahkan, tersebar satu gambar Maurice bersama seorang wanita cantik, dikatakan isterinya namun difahamkan wanita itu adalah Dorian Leigh, model popular pada tahun 1940an.
Gambar itu pula hanyalah sebahagian daripada sesi fotografi. Meskipun tiada bukti konkrit namun pasti ramai bersetuju wajah Shrek dan Maurice hampir serupa!
Apa yang pasti, Maurice pada zamannya menghiburkan ramai orang dengan aksi di gelanggang dan Shrek pula mencuit hati jutaan orang di layar perak.
Kedua-duanya pasti akan diingati sampai bila-bila...

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Amerika Syarikat #England #filem #gusti #keluarga #kesihatan #Lithuania #Maurice Tillet #meninggal dunia #model #Paris #Rusia #shm #Shrek #weekender
;