#MataKantaAWANI: Tip ambil gambar makanan yang menggoda
Israr Khalid
November 2, 2018 09:59 MYT
November 2, 2018 09:59 MYT
SUDAH menjadi trend masa kini, rata-rata ramai yang suka mengambil gambar makanan sebelum ia dijamah.
Tujuannya, katanya, hanya satu - untuk berkongsi kebahagiaan dan keindahan juadah itu bersama orang lain yang tidak ada bersama.
Namun, bukan harga atau jenis makanan menjadi penentu gambar anda itu menjadi satu foto makanan yang baik atau tidak. Kalau tak kena cara, sepinggan 'steak' berharga ratusan Ringgit pun akan kelihatan kurang menyelerakan, berbanding gambar secucuk sate yang diambil dengan baik.
Kami kongsikan sebahagian petua untuk membuatkan gambar anda boleh menyebabkan sesiapa yang melihat pasti meleleh air liur.
1. Gunakan pencahayaan semula jadi
Pencahayaan merupakan elemen paling penting (selain makanan itu sebagai subjek) untuk mengambil gambar yang cantik.
Kalau anda menggunakan pencahayaan buatan daripada lampu misalnya, besar kemungkinan makanan itu kelihatan berwarna kekuningan.
Anda pasti tidak mahu nasi yang asalnya berwarna putih kelihatan kuning dalam gambar anda.
Pencahayaan paling sesuai adalah di bawah sinar matahari yang suam dan lembut. Bagaimanapun, elak mengambil gambar di bawah cahaya matahari terik kerana ia akan menimbulkan terang dan bayang yang terlalu kuat.
Di dalam kawasan tertutup, pilih meja yang bersebelahan dengan tingkap untuk mendapatkan pencahayaan yang baik. Rancang komposisi gambar anda sebelum makanan sampai.
2. Kawal bayang
Bayang juga boleh jadi faktor membantu mencantikkan gambar atau merosakkannya.
Ada ketika bayang yang gelap akan menonjolkan subjek, terutamanya apabila ia membantu memperlihatkan rupa dan bentuk makanan dengan lebih jelas. Namun kalau tak kena caranya, bayang boleh membuatkan subjek terlindung dan tidak jelas.
Seeloknya elaklah mengambil gambar makanan di bawah pencahayaan matahari terik. Sekiranya pencahayaan yang terlalu terang tidak dapat dielak, gunakan pemantul cahaya seperti kertas putih untuk mengurangkan intensiti kegelapan bayang. Caranya, letakkan pemantul pada sisi di mana bayang jatuh dan menghadap sumber cahaya.
3. Guna latar belakang neutral
Apabila mengambil gambar makanan, latar belakang adalah sangat penting. Jika terlalu serabut atau terlalu beragam warnanya, ia akan menganggu perhatian penonton.
Gunakan latar belakang yang ringkas dan bersih untuk memaksimumkan emfasis pada makanan dalam gambar anda. Latar belakang yang neutral tak semestinya perlu kosong, tetapi ia perlu berperanan membantu menonjolkan subjek dan mencantikkan gambar anda.
Ada dua jenis latar belakang utama yang baik untuk fotografi makanan: latar belakang terang, latar belakang gelap.
Kedua-duanya bergantung kepada jenis makanan yang ingin dipaparkan. Jika makanan anda berwarna terang, ia sesuai dengan latar belakang terang. Begitu sebaliknya, makanan berwarna gelap sesuai dengan latar belakang gelap.
4. Bermain dengan warna
Warna memberikan impak besar kepada komposisi imej, mempengaruhi apa yang dirasakan oleh setiap mata yang melihat gambar anda.
Bermain dengan kontras warna makanan anda. Kuning dengan perang, hijau dengan merah, ikut kreativiti anda. Menggunakan warna-warna kontras mewujudkan imej yang dinamik, menonjol, dan menggoda serta merangsang emosi penonton.
5. Cari ‘angle’ terbaik
Mengambil gambar dari atas makanan memang selalu menjadi pilihan terbaik, lebih-lebih lagi apabila makanan itu disusun dengan baik.
‘Angle’ dari atas menampakkan keseluruhan butiran makanan termasuk pinggan, perkakasan kulteri dan objek lain. Ia juga cara mudah untuk membentuk komposisi yang seimbang, juga mengelak gangguan elemen lain yang menganggu.
Namun jika subjek adalah minuman atau kek yang berlapis-lapis, ‘angle’ yang lebih baik adalah dari sisi. Juga jangan dilupa, latar belakang neutral masih penting.
‘Angle’ ketiga yang boleh dipertimbangkan adalah pada sudut antara atas dengan mendatar atau ‘diagonal’. Ini dapat menampakkan makanan dan keseluruhan imej anda dari atas dan sisi pada masa yang sama.
Kalau tidak pasti untuk ambil gambar dari ‘angle’ mana, bereksperimen dan cuba dari pelbagai sudut berbeza.
6. Susun atur makanan anda dengan kemas
Cara anda menyusun makanan juga memberi kesan besar kepada gambar yang diambil. Komposisi adalah kunci kepada fotografi yang baik, jadi posisi setiap elemen dalam imej perlu diatur sebaiknya.
Bayangkan makanan yang bersepah dan meja yang berselerak. Siapa yang nak naik selera melihatnya?
Susunlah ikut kreativiti anda, dalam bentuk apa dan bagaimana cara sekalipun. Yang penting, cantik.
Kalau ada lelehan atau tumpahan, lap sehingga bersih. Melainkan ia membantu dalam menjadikan komposisi gambar anda menarik.
7. Beri ruang untuk subjek
Bila mengambil gambar makanan, beri ruang untuk subjek ‘bernafas’. Elakkan seluruh pinggan memenuhi keseluruhan ‘frame’.
Ada kalanya ‘close-up’ pada makanan itu baik dengan menampakkan butiran makanan dengan lebih dekat, tetapi tinggalkan sedikit ruang kosong tidak bersubjek supaya makanan anda lebih menonjol.
Bereksperimen dengan posisi subjek, sama ada ditengah-tengah atau lebih cantik di satu sisi dalam ‘frame’ itu. Ambil beberapa gambar makanan yang diletakkan di posisi berbeza, kemudian pilih yang paling seimbang komposisinya.
8. Hias meja anda
Untuk menjadikan gambar lebih cantik dan menarik, hias sekitar subjek anda dengan butiran-butiran kecil dan pastikan ia tidak mengganggu subjek utama.
Anda boleh gunakan rempah, dedaun, kekacang, buah-buahan atau bahan-bahan lain yang digunakan dalam masakan makanan anda sebagai hiasan. Selalunya bahan-bahan kering, tetapi bahan basah seperti ikan atau potongan daging, apa salahnya.
Perkakasan dapur atau meja makan seperti sudu, garfu, bekas lada sulah juga hiasan kecil di rumah anda juga sesuai untuk membantu mencantikkan gambar anda.
Tetapi sekali lagi diingatkan - asal tidak mengganggu subjek utama.
9. Reka cerita
Selain gambar yang cantik, cerita di sebalik gambar yang diambil juga menjadikan gambar itu lebih bermakna dan menarik.
Sertakan elemen-elemen yang membantu penceritaan dalam gambar anda. Contohnya, hiasan ketupat untuk juadah hari raya, pen dan buku nota atau komputer riba di sisi sepinggan sandwich untuk menunjukkan anda sedang mencuri masa dalam kesibukan kerja, atau sebuah buku di samping secawan kopi cukup untuk menceritakan anda sedang bersenang-senang.
Sebuah foto bukan sekadar gambar atau penghias cerita. Ia sendiri adalah sebuah cerita.
10. Tonjolkan warna dengan editing
Lumrah kejadian, buah-buahan bersifat warna terang untuk menarik perhatian supaya dimakan hidupan seperti haiwan dan manusia bagi meneruskan kemandirian spesisnya.
Warna makanan memainkan peranan penting untuk membangkitkan selera orang yang melihatnya, belum lagi menghidunya.
Jika gambar anda kusam dan warnanya kurang menggoda, edit sedikit menggunakan pelbagai aplikasi yang terdapat di pasaran. Jangan melebih-lebih, takut buruk nanti jadinya.
Barulah terliur dengan melihat gambar sahaja, sebelum anda tergoda dan mula bangkit dan berusaha keluar untuk memuaskan selera anda!