Masyarakat disaran tidak menghakimi biologi Imane Khelif - Pakar

Farhan Hakimi
Ogos 5, 2024 04:11 MYT
Masyarakat disaran tidak mempunyai stigma negatif terhadap petinju Imane Khelif atau individu lain yang memiliki persamaan fizikal seperti atlet Algeria itu. - Gambar REUTERS
KUALA LUMPUR: Masyarakat disaran tidak mempunyai stigma negatif terhadap petinju Imane Khelif atau individu lain yang memiliki persamaan fizikal seperti atlet Algeria itu.
Ini kerana menurut Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Ani Amelia Datuk Zainuddin, apa yang berlaku kepada Imane dan mereka dengan keadaan biologi sebegitu merupakan kondisi semula jadi dalam perkembangan seksual yang berlaku secara genetik dan bukan disebabkan oleh pilihan atau tindakan mereka.
Justeru, dalam konteks kontroversi yang berlaku kepada Imane, atlet tersebut jelas, Dr Ani Amelia, mempunyai Kromosom XY yang merupakan sebahagian daripada DSD (Differences in Sex Development).
Perkara itu, kata beliau, merujuk kepada keadaan di mana perkembangan kromosom, gonad atau anatomi seksual luaran dan dalaman tidak berkembang seperti biasa.
Dr Ani Amelia menjelaskan, DSD mempunyai tiga kategori utama iaitu 46, XX DSD, 46, XY DSD, dan Sex Chromosome DSD.
"Wanita dengan kromosom XY (seperti Imane Khelif) termasuk dalam kategori 46, XY DSD, dan terdapat beberapa jenis dalam kategori ini. Terdapat kes di mana keadaan ini boleh diwarisi melalui genetik (X-linked inheritance)."
"Selain itu, terdapat juga mutasi yang berlaku secara spontan, yang bermaksud ia tidak dapat dielakkan.
"Di beberapa negara Barat, apabila kes seperti ini ditemui, mereka mungkin mempertimbangkan untuk menggugurkan kehamilan.
"Namun, sebagai orang Islam, kita tidak boleh menggugurkan kehamilan atas dasar ini," katanya ketika diwawancara dalam program AWANI Pagi pada Isnin.
AWANI Pagi: Kesihatan Gender: Kecelaruan padanan kromosom
Sementara itu, Dr. Ani Amelia turut menyarankan mereka yang mempunyai biologi sedemikian untuk berjumpa dan merujuk pakar perubatan seperti pakar endokrinologi atau ginekologi supaya saranan berkenaan intervensi perubatan lanjut dapat diberikan.
Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengeluarkan kenyataan dengan mempertahankan keputusan mereka yang membenarkan dua peninju wanita termasuk Imane bertanding di Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 walaupun pertikaian jantina berterusan.
Pertikaian itu tercetus apabila petinju Itali, Angela Carini menarik diri dari Olimpik Paris selepas 'dibedal’ menerusi beberapa tumbukan kuat daripada Imane, yang didakwa secara genetik sebagai seorang lelaki.
Bagaimanapun, bapa Imane iaitu Omar Khelif mempertahankan anaknya yang dilahir dan dibesarkan sebagai seorang perempuan.
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Imane Khelif #petinju Imane Khelif #Kromosom XY