Master of torque Yamaha MT-09 versi 2021 telah tiba!
Afiezy Azaman
November 1, 2020 14:30 MYT
November 1, 2020 14:30 MYT
KEMAS KINI baharu Master of Torque Yamaha MT-09 versi 2021 telah didedahkan secara rasmi oleh Yamaha baru-baru ini membuatkan para peminat motosikal berkuasa besar versi ‘naked’ ini begitu teruja.
Terdapat beberapa aspek penambahbaikan yang telah dilakukan terhadap MT-09 ini iaitu rupa bentuk dan kapasiti enjinnya.
Kemaskini enjin disasarkan dengan lebih tinggi iaitu daripada 847cc (114hp) kepada 890cc (120hp) dengan mematuhi piawaian Euro5 yang akan berkuatkuasa pada tahun hadapan.
Seperti sebelumnya, enjin MT-09 menggunakan ‘crossplane inline-triple’ namun direka bentuk semula agar ia menjadi lebih ringan dan menjimatkan petrol.
Video dimuat naik di Facebook Yamaha Motor memaparkan perubahan pada lampu hadapan yang berbentuk bulat seakan-akan ‘cyborg’ berbanding versi keduanya yang lebih garang.
Dalam masa yang sama, reka bentuk tangki minyak dan lampu belakang juga telah diubah suai.
Mengenai casis pula, MT-09 mendapat ‘twin-spar frame dan ‘swingarm’ yang baharu yang mungkin dipinjam daripada Yamaha R6 dan ini sekali gus memungkinkan MT-09 lebih ringan dan memiliki pengendalian tajam dalam segmen ini.
Selain itu, memandangkan MT-09 adalah Hyper Naked motosikal ini akan dilengkapi ABS, ‘traction control’ dan beberapa mod tunggangan.
Dalam masa yang sama, penggunaan paparan meter jenis TFT berwarna berbanding LCD sebelum ini juga antara kemas kini terbaharu MT-09 .
Berat motosikal berkuasa besar ini juga sedikit lebih ringan sebanyak tiga kilogram berbanding versi terdahulu.
Jadi kepada peminat Hyper Naked, boleh sertakan ulasan awal pandangan secara kasar versi MT-09 2021 ini kepada kami.
Penulis sebenarnya lebih gemar MT-09 versi dua yang lampu hadapannya lebih garang. Apa pun ia terpulang kepada cita rasa masing-masing!
Yamaha MT-09 dijangka akan berada di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat pada Januari 2021, Malaysia pula kita akan tunggu pengumuman Yamaha Motors yaaa!
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, personaliti, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#Yamaha MT-09
#2021
#naked
#enjin
#piawaian Euro5
#crossplane inline-triple
#cyborg
#casis
#ABS
#traction control
#TFT
#shm
#weekender