Masa 'musuh' utama Che Adam tawan tujuh puncak gunung
Bernama
April 17, 2021 09:51 MYT
April 17, 2021 09:51 MYT
KUANTAN: Masa menjadi 'musuh' utama kepada Kolonel (PA) Che Adam A Rahman sebelum beliau berjaya menakluki tujuh puncak gunung di Semenanjung Malaysia dalam tempoh seminggu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu berkata berlumba dengan masa lebih memenatkan kerana kesemua gunung didakinya berada di negeri berlainan yang mana memerlukan perancangan dan perkiraan teliti termasuk setiap minit bagi memastikan misi 'mustahilnya' itu dapat disempurnakan tepat pada masa.
"Semua perjalanan adalah menerusi laluan darat. Saya perlu sampai ke lokasi pendakian pada sebelah malam untuk berehat di inap desa bagi mengumpul tenaga sebelum memulakan pendakian pada 9.30 pagi supaya waktu turun tidak terlalu lewat petang untuk ke destinasi berikutnya.
Che Adam, 46, memulakan misinya pada 1 hingga 7 April lepas dengan menakluki Gunung Ledang, Johor setinggi 1,276 meter (m) diikuti Gunung Angsi, Negeri Sembilan (825 m); Gunung Hitam, Selangor (1,220 m); Gunung Kerunai, Perak (1,000 m); Gunung Jerai, Kedah (1,175 m); Gunung Sarut, Terengganu (1,229 m) dan yang terakhir Gunung Siku, Pahang (1,915 m).
Kejayaan Che Adam yang mula aktif dalam aktiviti mendaki gunung pada 1997, menjadikan beliau penjawat awam dan rakyat Malaysia pertama berbuat demikian dengan Malaysia Book Of Records dijadual memberi pengiktirafan rasmi pada minggu depan.
Bapa kepada empat orang anak itu mula melakukan persiapan sejak tiga bulan lepas meliputi larian kecergasan fizikal, pendakian bukit dan larian rintangan di pantai bagi memastikan tahap kecergasannya berada dalam keadaan baik.
"Perkara yang dibimbangi ialah cuaca dan Alhamdulillah, cuaca baik sepanjang mendaki... saya hanya perlu minum air secukupnya supaya tidak dehidrat dan bar protein menjadi pengalas perut kerana ia lebih mudah dibawa," katanya.
Ditanya mengenai gunung paling mencabar, anak jati Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu itu secara berseloroh mengaku sukar untuk membuat keputusan antara Gunung Jerai dan Gunung Ledang kerana kedua-duanya mempunyai trek pendakian paling mencabar.
Gunung Ledang misalnya, memerlukan beliau mengerah keringat selama lapan jam untuk mendaki sejauh 14.89 kilometer (km) manakala Gunung Angsi dengan jarak pendakian 8.79 km adalah gunung 'paling cepat' ditawan iaitu dalam tempoh tiga jam 32 minit.
Che Adam mendedikasikan kejayaan menawan tujuh gunung itu kepada petugas barisan hadapan dan menyifatkan cabaran sepanjang pendakian sebagai simbolik kepada pelbagai rintangan dilalui mereka dalam 'berperang' dengan pandemik COVID-19 di Malaysia sejak tahun lepas.
Tahun lepas, Che Adam menyempurnakan pendakian solo mendaki lapan bukit di lapan daerah di Terengganu dalam masa dua hari dan berharap untuk melakukan expedisi solo ke Everest Base Camp (EBC) di Nepal tahun hadapan.
#Kolonel PA Che Adam A Rahman
#Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
#APM
#gunung
#Gunung Ledang
#Gunung Angsi
#Gunung Sarut
#rakyat
#rakyat Malaysia
#penjawat awam
#pandemik
#COVID-19
#MASA