Masa itu emas, sanggup jelajah Eropah demi kumpul jam gereja

Agensi
Disember 12, 2020 11:00 MYT
'Ketaksuban' Pham Van Thuoc terhadap jam lama buatan Eropah berkembang menjadi kemahiran diri yang sangat berharga. - Reuters
HA TAP VILLAGE: Lebih dua dekad, lelaki dari Vietnam ini, Pham Van Thuoc menjelajah banyak negara di Eropah untuk mencari jam gereja yang lazimnya mempunyai sejarah tersendiri.
Dia kemudian akan membawa pulang semua jam itu ke rumahnya di Vietnam, mencantikkan semula jam itu dan dijaga dengan penuh kasih sayang.
Kini, dia mempunyai 20 jam, kebanyakannya berusia lebih dari 100 tahun termasuk sebuah jam besar yang beratnya mencecah satu tan - ditempatkan di sebuah gudang di wilayah Thai Binh utara di negara tersebut.
Memiliki koleksi sebegitu, Thuoc yakin koleksinya adalah antara yang terbesar di dunia. Dia menyatakan keseronokan di sebalik mengumpul koleksi itu bukan hanya mencari dan membaikinya tapi melihat bagaimana ia berfungsi pada usia sebegitu.
“Saya mempunyai jam buatan Itali yang paling tua dan berasal dari tahun 1750.
“Mungkin yang paling saya gemari adalah bahawa walaupun dibuat bertahun-tahun yang lalu, ia tetap sesuai dengan tujuannya iaitu menunjukkan waktu dan ia melakukannya dengan sangat tepat,” katanya.
Menelusuri kisahnya, Thuoc berkata sejak dari kecil dia sukar mendengar bunyi loceng dari menara jam era kolonial Perancis.
Bahkan, dia pernah menghabiskan masa dua tahun hanya untuk memujuk seorang pemilik jam dari Eropah untuk melepaskan jam dimilikinya.
Atas usahanya, Thuoc telah diakui oleh Vietnam Records Association sebagai pemilik koleksi jam awam terbesar di negara ini.
Dengan jam elektronik yang kini cepat menggantikan jam mekanikal di Eropah, dia berharap koleksinya dapat mengekalkan sejarah yang mungkin akan lenyap.
Menurutnya, jam mengingatkan dirinya bahawa “betapa berharganya waktu, dan bahawa saya harus menghargai setiap minit dan setiap detik.”
#jam #Vietnam #Itali #lelaki #jam gereja #koleksi #eropah #santai hujung minggu #weekender #shm
;