Martabatkan seni pantun dalam kalangan generasi muda
Bernama
November 25, 2023 07:20 MYT
November 25, 2023 07:20 MYT
MELAKA: Generasi muda pada masa kini perlu diberi pendedahan secara lebih meluas mengenai seni pantun bagi memartabatkan warisan budaya masyarakat yang tinggi nilainya itu supaya ia tidak luput ditelan zaman.
Penggiat pantun dari Singapura Baba GT Lye, 84, berkata setiap pantun mempunyai rima tersendiri dan kebanyakannya dilontarkan secara spontan dengan pemilihan kosa kata adalah penting untuk menguatkan setiap susunan bait supaya nilainya kekal asli dan indah.
Menurutnya yang minat berpantun sejak berumur 10 tahun, beliau turut menerapkan seni budaya masyarakat itu pada watak dibawanya dalam pementasan wayang dan teater Peranakan yang diceburi sejak 1984.
"Apa yang penting sekali dalam pantun ialah penggunaan bahasa, jika kosa kata sesuatu pantun itu tidak kuat, sudah tentu susah untuk kita menuturkannya tetapi anehnya pantun ini datang serta-merta tanpa kita berfikir sama sekali.
Sebagai contohnya bunga rampai sudah dikukus, dalam bungkus harum baunya, barang digadai cepat ditebus, lama-lama pajak yang punya, ini adalah merujuk situasi watak rakan yang mahu menggadai barang kemasnya kerana mahu besarkan anaknya yang masih bersekolah," katanya kepada pemberita ketika Konvensyen Antarabangsa Baba Nyonya kali ke-34 di sini pada Sabtu.
Baba GT Lye yang membintangi lebih 23 lakon wayang Peranakan itu bukan sahaja masih aktif dalam pementasan di negaranya malah juga di Malaysia.
Pada Mei lepas beliau turut menjayakan wayang berjudul "Tak Sangka-Sangka Cempedak Jadi Nangka" di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur.
Beliau berkata minat berpantun itu diwarisi daripada ayahnya yang setiap hari akan berpantun ketika melakukan aktiviti harian seperti ketika hendak makan, mandi atau beriadah bersama keluarga.
Baba GT Lye yang merupakan generasi terakhir mewarisi seni berpantun berkata sehingga kini beliau tidak dapat memberikan jumlah tepat mengenai pantun yang telah dihasilkan malah pantun-pantunnya itu belum didokumentasikan dalam buku sebagai rujukan .
"Apa yang saya harapkan warisan budaya ini terus dapat dipelihara supaya ia tidak dilupakan, dan saya melihat usaha Kerajaan Negeri Melaka dalam menggalakkan seni pantun sewajarnya dicontohi dan diperluaskan supaya generasi masa kini dapat mewarisinya.
Langkah mengadakan bengkel, pertandingan pantun di sekolah dan sebagainya adalah satu usaha yang baik supaya lebih ramai dapat menguasai seni ini kerana pantun juga telah mendapat pengiktirafan (sebagai warisan kebudayaan tidak ketara) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya.
-- BERNAMA