Mariah Idrissi jadi model beragama Islam pertama H&M
Madiha Abdullah
Oktober 10, 2015 10:27 MYT
Oktober 10, 2015 10:27 MYT
Nama Mariah Idrissi sudah mula bermain di bibir penggemar fesyen sejak kebelakangan ini.
Mungkin belum bertaraf peragawati tersohor seperti Miranda Kerr atau Gisele Bundchen, namun tidak mustahil Mariah bakal mengikut jejak langkah nama-nama besar itu.
Semuanya selepas peragawati beragama Islam itu diambil syarikat retail pakaian kedua terbesar di dunia iaitu H&M sebagai jurucakapnya menjadikan Mariah model beragama Islam pertama diambil mewakili jenama tersebut.
Tugasan pertama Mariah bersama H&M adalah iklan untuk kempen 'Close the Loop' yang mengetengahkan mesej mengitar semula pakaian untuk konsep mix and match.
Selain tugasan baharu itu, Mariah turut dikenali sebagai seorang pengusaha Salon Marrakesh, sebuah pusat kecantikan wanita khusus untuk rawatan rias dan penggilap kuku halal.
Mariah, wanita tinggi lampai berusia 23 tahun keturunan Pakistan dan Morroco memberitahu, dia tidak melihat pembabitannya dalam bidang peragawan sebagai satu kesalahan.
Kata Mariah, beliau berharap agar wanita berhijab tidak dipandang negatif sebaliknya dihargai sebagai ikon fesyen.
Reaksi netizen juga positif malah ramai yang memuji dan berharap lebih ramai peragawati beragama Islam mendapat pendedahan selepas ini.