Maria Sharapova masih sibuk, lancar rangkaian cokelat di Eropah
Astro Awani
Mei 14, 2016 11:05 MYT
Mei 14, 2016 11:05 MYT
SEWAKTU pemain tenis utama dunia sedang sibuk dengan dua acara Grand Slam musim panas iaitu Terbuka Perancis dan Wimbledon, pemain Rusia, Maria Sharapova yang gagal ujian doping juga sibuk dengan kerjayanya di luar gelanggang tenis.
Sharapova kini berkolaborasi bersama Baron Chocolatier untuk melancarkan rangkaian cokelat di bawah jenama miliknya, Sugarpova.
Memetik laporan CNN.com, ia akan dipasarkan pada 15 Mei di beberapa negara di Eropah sebelum dilancarkan di Amerika Syarikat.
Sharapova juga bercadang untuk membuka satu kedai ‘pop-up' di Wimbledon Village, tidak jauh dari gelanggang Wimbledon di mana beliau memenangi kejohanan Grand Slam pertamanya pada 2004.
Sharapova dalam satu video yang dimuat naik di YouTube teruja dengan pelancaran cokelat ini dan juga jenama Sugarpova.
“Saya berminat untuk belajar tentang perniagaan ini dan produk-produk yang boleh saya hasilkan untuk jenama ini.
“Gula-gula boleh membuat orang tersenyum, sesuai dimakan ketika 'melepak' bersama kawan-kawan ketika minum petang atau sebelum makan malam. Jadi semua aspek itu penting untuk jenama ini,” kata Sharopova dalam video berkenaan.
Sugarpova diasaskan pada 2013 dan selain gula-gula dan cokelat, Sharapova mempunyai perancangan untuk melancarkan produk gaya hidup pada masa terdekat.
Pada Mac, Sharapova mendedahkan beliau gagal dalam ujian dadah semasa Kejohanan Terbuka Australia di Melbourne, Januari lalu.
Dalam sidang media khas yang diadakan di Los Angeles, Sharapova mengakui hasil ujian menunjukkan kesan positif bagi bahan dadah terlarang meldonium.
Meldonium diumum sebagai bahan dadah terlarang sejak Januari tahun ini oleh Agensi Anti Doping Dunia.