Marah guru 'conteng' buku Iqra', ibu bapa dikecam netizen
Madiha Abdullah
Februari 19, 2016 14:23 MYT
Februari 19, 2016 14:23 MYT
TUGAS paling utama seorang pendidik adalah memastikan ilmu yang disampaikan mampu difahami secara total, seterusnya diamalkan secara berterusan.
Prinsip ini menjadi berganda lebih penting apabila pendidikan yang dimaksudkan berkaitan dengan ilmu agama.
Justeru, tindakan ibu bapa yang memarahi guru hanya kerana menconteng buku Iqra' anak mereka, mengundang rasa tidak puas hati netizen, khususnya golongan pendidik.
Gambar nota yang dilekat pada buku Iqra' berkenaan mula dimuat naik ke akaun Facebook milik seorang penulis, Norhayati Berahim, dan mula viral sejak Khamis.
Golongan ibu bapa juga tidak ketinggalan meluahkan buah fikiran dan berpendapat bahawa tindakan ibu bapa terbabit agak keterlaluan.
Majoriti merasakan menconteng buku dengan tujuan mengajar bukanlah satu kesalahan, malah dalam situasi tertentu, ia merupakan satu keperluan.
Dalam masa yang sama, sikap ibu bapa yang memarahi guru tanpa usul periksa dibimbangi akan melahirkan lebih ramai generasi muda yang tidak beradab dan kurang rasa hormat terhadap golongan pendidik.