Malaysia antara 59 negara diberi akses tanpa visa ke Pulau Hainan
Bernama
April 21, 2018 09:15 MYT
April 21, 2018 09:15 MYT
Malaysia antara 59 negara yang akan menikmati akses tanpa visa selama 30 hari ke Pulau Hainan mulai 1 Mei ini, menurut pengumuman Kementerian Keselamatan Awam China dan Pentadbiran Imigresen Negara pada Jumaat.
Negara-negara lain termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei, Jepun, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.
Suruhanjaya Pembangunan Pelancongan Sanya dalam satu kenyataan berkata dasar baharu itu merupakan satu usaha untuk menyokong inisiatif pembaharuan dan pembukaan pulau itu.
"Di bawah dasar baharu itu, sama ada kumpulan mahupun orang perseorangan dari 59 negara ini boleh melawat Wilayah Hainan selama 30 hari tanpa visa selagi mereka menempah lawatan mereka melalui agensi-agensi pelancongan yang didaftarkan di Wilayah Hainan dan diluluskan oleh Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan China," katanya dalam kenyataan itu.
Sanya yang terletak di bandar raya paling selatan di Pulau Hainan, dikenali sebagai 'Hawaii China' dengan iklim nyaman sepanjang tahun, menjadi tempat popular untuk pelancong.
Pelancong selalunya menghabiskan masa di pantainya yang indah serta meneroka dan bertemu penduduk asli di situ, katanya.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari http://en.sanyatour.com/ dan https://www.instagram.com/visit_sanya/
--BERNAMA