'Malaysia ada banyak makanan best, tapi ramai tak tahu'

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Mac 1, 2017 12:10 MYT
WILLIAM: Saya sendiri mengambil masa hampir dua tahun untuk mengenali makanan tradisional di Malaysia. - Foto Astro AWANI
Maklumat berkenaan tempat pelancongan dan lokasi makanan terkenal di setiap negeri perlu ditambah baik bagi memudahkan pelancong berkunjung.
Bagi warga Britain yang memilih untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah keduanya sejak 2013, Rhys Williams, menyifatkan informasi yang disediakan kurang membantu untuk mengenali negara ini dengan lebih dekat.
"Saya sendiri mengambil masa hampir dua tahun untuk mengenali makanan tradisional di Malaysia. Sedangkan banyak tempat menarik dan bersejarah di Malaysia untuk dikunjungi pelancong namun pelancong kurang didedahkan dengan informasi tambahan, khususnya lokasi makanan-makanan tempatan.
"Akhirnya pelancong akan hanya menikmati satu atau dua menu tempatan dan pulang ke tanahair mereka dengan cerita sama yang dikongsikan rakan mereka yang pernah datang ke Malaysia," katanya ketika menjadi tetamu dalam Buletin Awani Pagi pada Rabu.
Tambahnya, penduduk tempatan seharusnya membantu mempromosi makanan tradisi di sekitar kawasan tumpuan pelancong selain yang dijual di restoran dan hotel terkemuka negara.
"Saya berkesempatan ke Pulau Pinang baru-baru ini dan saya memilih untuk menikmati makanan di gerai-gerai yang berada di sekitar kawasan bersejarah di negeri itu.
"Apa yang saya dapati adalah, kurangnya sambutan terhadap gerai tersebut dan saya rasa penduduk tempatan perlu memanfaatkan aset yang ada untuk tujuan tarikan pelancongan," tambahnya.
#makanan tempatan #maklumat #pelancongan #Ryhs William #warga Britain
;