Makan seperti arnab untuk tahun baharu yang sihat dan sejahtera
Bernama
Januari 18, 2023 18:08 MYT
Januari 18, 2023 18:08 MYT
KUALA LUMPUR: Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Jasminder Kaur menyarankan agar Tahun Baharu Cina disambut dengan mengamalkan diet seperti arnab iaitu mengambil lebih banyak sayur-sayuran bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan diri.
Beliau berkata, masyarakat semakin mudah untuk menerima diet berasaskan tumbuhan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerana ia kaya dengan serat yang menyihatkan, vitamin dan mineral, bebas kolesterol serta kandungan kalori dan lemak tepu yang jauh lebih rendah.
"Ia juga kaya antioksida yang boleh membantu melindungi diri daripada penyakit jantung serta jenis kanser tertentu dan diabetes," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Dr Jasminder mengakui bahawa melakukan perubahan sepenuhnya pada diet adalah sesuatu yang sukar dan memerlukan kesungguhan serta disiplin.
Oleh itu, menurutnya, bagi mereka yang baru memulakan langkah ke arah tersebut, mengurangkan pengambilan produk daging secara beransur-ansur mungkin menjadi pilihan yang lebih sesuai.
"Kita bernasib baik kerana terdapat pelbagai pilihan diet berasaskan tumbuhan untuk dicuba jika merasakan amalan mengurangkan pengambilan produk daging kurang menarik," katanya.
Beliau berkata, ini termasuk diet lacto-vegetarian, ovo-vegetarian, lacto-ovo vegetarian, pescatarian dan vegan, dengan sesetengah diet tersebut mendapat sumber utama protein daripada ikan, manakala yang lain tidak mengambil daging dan ayam tetapi membenarkan telur dan/atau tenusu.
Walaupun mengamalkan diet berasaskan tumbuhan langkah yang bagus untuk individu dewasa jika mereka ingin meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan diri, Dr Jasminder juga mengingatkan bahawa hanya menjadi vegetarian sahaja tidak akan menyembuhkan penyakit atau menjadikan seseorang itu sihat dalam sekelip mata.
"Untuk melihat peningkatan yang diinginkan, adalah penting bagi seseorang itu merancang dengan baik, seeloknya berjumpa dengan pakar pemakanan yang memahami keadaan kesihatan semasa anda.
"Pendekatan diet berasaskan tumbuhan yang sihat bermaksud anda menyertakan sekali bahan yang kaya nutrien dan pengganti protein memandangkan anda tidak mengambil produk daging," katanya.
Dr Jasminder berkata, bagi mendapatkan gaya hidup sihat secara keseluruhan, seseorang juga perlu aktif dan memperoleh rehat yang cukup. - BERNAMA