Makan sayur bukan sahaja kenyang, bahkan boleh kurus

Agensi
November 15, 2020 09:00 MYT
Mengikut kajian, banyak makan sayur-sayuran boleh menurunkan berat badan manakala yang tinggi kalori pula, lebih-lebih lagi tinggi gula boleh membuatkan perut rasa cepat lapar. - Gambar hiasan
“AZAM saya tahun ini adalah untuk meneruskan azam tahun lepas yang disambung dari 2018, dibuat pada 2017 dan dimulakan pada 2016, iaitu nak kurus,” kata Din kepada rakannya.
Begitulah kisahnya, ramai yang nak kurus, berazam untuk kurus namun ramai terkandas - walaupun ramai juga yang berjaya.
Hakikatnya, jika ingin kurus, bukan sahaja senaman tapi pemakanan juga memainkan peranan penting, tapi itulah, di Malaysia yang dikenali sebagai syurga makanan, cabarannya bukan biasa-biasa.
Mengikut kajian, banyak makan sayur-sayuran boleh menurunkan berat badan manakala yang tinggi kalori pula, lebih-lebih lagi tinggi gula boleh membuatkan perut rasa cepat lapar.
Sayur biasanya tinggi dengan serat, mudah untuk dilawaskan, mempunyai banyak nutrisi malah boleh menghilangkan rasa lapar.
Selain itu, sayur juga mempunya potasium, vitamin dan mineral yang memberi tenaga kepada badan.
Portal berita Kompas melaporkan, pakar nutrisi Ilana Muhlstein menggesa kliennya yang tidak suka makan sayur untuk berbuat demikian jika benar-benar mahu menurunkan berat badan.
Dia sendiri berjaya hilang 45 kilogram selepas mengubah kebiasaan hidupnya dengan lebih banyak makan sayur.
Jadi, cubalah enam cara makan sayur-sayuran untuk menurunkan berat badan dengan lebih efektif seperti berikut:
1) Makan sayuran mentah
Muhlstein mencadangkan supaya sayuran mentah dijadikan sebagai makanan ringan, bukan lagi snek atau keropok yang tinggi kalorinya.
Malah ia juga boleh disimpan di dalam pati ais dan diambil ketika mahu makan, tak perlu beli di kedai setiap kali nak makan.
Sayur seperti lobak merah, brokoli atau tomato ceri membantu kita untuk berasa kenyang.
2) Beli sayuran tahan lama
Kobis antara contoh terbaik. Boleh didapati setiap masa, harganya juga tidaklah mahal, tahan lama juga walau disimpan.
Banyak juga lauk boleh dimasak menggunakan kobis tapi pasti lebih baik jika dimasak secara sihat.
3) Tingkatkan serat dalam nutrisi
Terdapat bakteria sihat dalam sayuran. Ia membantu memecah serat sehingga tubuh kita dapat menyerap nutrisi dengan lebih baik.
Jadi ketika makan sayuran dan rasa perut kembung, itu petanda saluran pencernaan berfungsi dengan baik dan usus yang sihat.
Pastinya, setiap individu akan mendapat manfaat sekiranya meningkatkan pengambilan serat dalam diet harian.
4) Ubah selera makan ke sayuran
Mungkin sukar dipercayai tapi kita boleh mengubah selera makan kita dalam waktu yang singkat.
Bila kita lebih banyak makan sayuran, secara tidak langsung kita akan menghindari makanan yang tinggi garam dan gula.
5) Gunakan bahan perasa dalam sayuran
Jangan takut untuk tambah bahan perasa untuk memastikan anda lebih berselera ketika menikmati sayuran.
Kalau tak suka makan secara mentah, anda boleh masak dengan cara berbeza.
Anda boleh panggang, boleh goreng dan apa saja mengikut citarasa anda asalkan menu utamanya adalah sayuran.
6) Ketahui cara mengolah sayuran
Kita perlu mengetahui apa cara yang membuat sayur rasa lebih enak, kenyang dan buat berat badan turun.
Jika mampu mengubah cara anda berfikir dan menu harian anda, penurunan berat badan akan mula kelihatan.
Kalau sewaktu makan banyak sayuran dan anda berasa kenyang, itu merupakan perubahan positif untuk kebiasaan baru anda.
Jadi, begitulah enam cara untuk membantu anda memulakan diet hariam baru, dipenuhi sayur-sayuran.
Apa lagi, jomlah kurus bersama-sama!

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#sayur #sayur-sayuran #sayuran mentah #serat #nutrisi #selera makan #santai hujung minggu
;