Majikan perlu jadikan OSH sebagai budaya kerja
Bernama
Ogos 3, 2018 17:03 MYT
Ogos 3, 2018 17:03 MYT
Majikan perlu menjadikan amalan keselamatan dan kesihatan (OSH) sebagai suatu amalan budaya kerja memandangkan jumlah kemalangan di tempat kerja yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata mengikut data Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebanyak 711 kes kemalangan maut di tempat kerja dicatat di seluruh negara sepanjang tahun lepas di mana jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 688 kes yang direkodkan pada 2016.
Beliau berkata pada 2017 juga, kemalangan di tempat kerja adalah pada purata 116 kes setiap hari, bersamaan dengan 42,513 kes setahun.
Katanya di Negeri Sembilan pula, kadar kemalangan maut adalah 6 kes, hilang upaya kekal 5 kes, kejadian berbahaya 6 kes, manakala tidak hilang upaya kekal 231 kes.
"Jumlah yang begitu tinggi itu menunjukkan bahawa masih terdapat banyak ruang untuk perubahan dan pembaikan dengan isu-isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. katanya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan dan Antarabangsa MOSHPA OSH Ke-14 di sini, hari ini.
Beliau berkata cara paling berkesan untuk mengurangkan kemalangan di tempat kerja adalah melalui pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang baik.
Dalam hal ini, katanya ahli-ahli pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlulah bersedia memikul tanggungjawab menangani pelbagai isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang akan timbul. Isu kritikal ini perlu diteliti dan ditangani untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan
Mengenai persidangan itu yang memberikan penumpuan terhadap aspek 'Ergonomik' Veerapan berkata 'Ergonomik' adalah satu bidang sains dan teknologi yang bertujuan untuk menyesuaikan penggunaan peralatan-peralatan pekerjaan, reka-bentuk tempat kerja, persekitaran tempat bekerja dan juga cara bekerja mengikut had dan kemampuan fizikal dan mental para pekerja.
"Kajian yang telah dilakukan di negara-negara industri yang maju menunjukkan banyak kecederaan di kalangan para pekerja kilang melibatkan tulang belakang, sendi-sendi di tangan, kaki dan tengkuk dan bahaya ini tidak terkecuali bagi mereka yang bekerja bekerja di pejabat seperti terjatuh, tersepit dan masalah lain seperti masalah otot rangka dan kelesuan mata," katanya.
Beliau berkata Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Seksyen 15 (1) menyatakan bahawa adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.
-- BERNAMA