'Maaf adik, kami di Malaysia terlalu selesa sehingga tidak fikir kamu kelaparan'

Madiha Abdullah
Jun 16, 2017 17:18 MYT
Seorang kanak-kanak perempuan tidak dapat menyembunyikan rasa gembira apabila melihat abangnya membawa sepinggan makanan lazat untuk dinikmati mereka.FOTO/Facebook Ya Muhammad
MALAYSIA sememangnya sebuah negara aman yang kaya dengan pelbagai makanan lazat, apatah lagi di bulan Ramadan.
Dan mungkin kerana kemewahan itu, kita terlupa untuk menghargai nikmat makanan, sehingga ada yang tanpa rasa bersalah membuang sahaja juadah yang tidak habis dimakan ketika berbuka.
Bagi mereka yang cenderung mengamalkan tabiat yang tidak baik ini, foto-foto yang dikongsi seorang pengguna Facebook dengan nama Ya Muhammad ini mungkin boleh menjadi sesuatu untuk direnungkan.
Muhammad yang merupakan seorang sukarelawan, berkongsi beberapa keping gambar anak-anak pelarian Syria di sempadan Turki-Syria, ketika sesi pengagihan makanan dan juadah berbuka.
Seorang kanak-kanak perempuan, yang dianggarkan berusia empat tahun, tidak dapat menyembunyikan rasa gembira apabila melihat abangnya membawa sepinggan makanan lazat untuk dinikmati mereka.
Hal itu, kata Muhammad, mungkin kerana sudah lama tidak dihidangkan dengan juadah semewah itu buat mengisi perut yang kosong.
Secara tidak langsung ia gambaran rasa syukur yang tidak terhingga mereka akan nikmat yang dikecapi.
"Melihat apa yang dilakukan oleh dua beradik ini, jelas telah memberi maksud erti syukur pada diri mereka.
"Maafkan kami, adik. Kami di Malaysia terlalu selesa sehingga tidak memikirkan kamu yang sedang lapar," tulis Muhammad.
#juadah berbuka #Kanak-kanak #pelarian #pelarian syria #sesi pengagihan makanan #sukarelawan #Syria #Ya Muhammad
;