'Lumur minyak, pakai stoking' - Ini petua elak kulat air, kaki kecut terendam banjir
Mingguan Wanita
Januari 2, 2022 10:37 MYT
Januari 2, 2022 10:37 MYT
RUPANYA dengan melumur minyak dan pakai stoking sebelum memakai ‘boot’ ketika mahu membersihkan rumah akibat banjir dapat membantu mengelakkan kulat air dan kaki kecut.
Bukan apa bahagian kaki merupakan antara bahagian yang paling sensitif mudah dijangkiti kulat air dan kecut apabila terendam dengan air, mahupun banjir berjam-jam lamanya.
Boleh ikut tip pengalaman yang dikongsikan oleh Puan Hayana Darliz ini yang pernah bergelar Kapten dan menjalani latihan tentera di dalam hutan dahulu.
"Ada sahabat kita bagitau, diorang yang dok bersihkan rumah banjir hari-hari, kaki terperam dalam air berlumpur berjam-jam sampai rosak kulit kaki dan naik kulat air.
Allah. Gini..KD share sikit.
Tip Sebelum Mulakan Kerja Membersih
Sebelum mulakan kerja membersih, sama ada basah atau tidak, sila lumurkan kaki dengan minyak. Minyak kelapa boleh, minyak zaitun pun okey. Lepas tu pakai stoking, baru pakai boot.
Kalau tak buat kerja tolak air, kaki akan basah juga sebab berpeluh dalam boot tu. Keadaan lembap gitu banyak bakteria membiak.
Stoking pakai tau. Kalau tak pakai, boleh akibatkan melecet, kaki lebih cepat berpeluh.
Stoking dan minyak zaitun atau minyak kelapa ialah antara barang kalian boleh sumbangkan buat mangsa banjir.
Pengalaman ‘Training’ Dalam Hutan
Mana KD tau petua ni?
Masa training dalam hutan dulu kami pakai spike boot. Selalunya akan basah lah sebab harung sungai, berhujan berpanas.
Lebih seminggu dok peram kaki macam tu. Tahun pertama training memang tak reti lagi. Rosak kaki. Lama nak sembuh.
Lepas dah pandai sikit, kami pun pakai minyak bawang putih. Lumur kat kaki sebelum sarung stoking.
Minyak ni elak kulat air, elak kaki kecut selepas berminggu basah dalam boot. Pakai minyak masak kelapa sawit saja.
Cara Buat Minyak Bawang Putih
Cara nak buat minyak bawang putih: Grill atau bakar bawang putih, pastu lenyekkan, bubuh dalam botol yang berisi minyak masak.
Memang kuat bau bawang putih tu. Tapi demi menjaga kesihatan kaki, layankan saja.
Semasa training dalam hutan tu, bila ada masa, buka boot, keringkan kaki dan tabur bedak askar (tak tahulah brand apa nak pakai kalau bedak lain), supaya kaki betul-betul kering.
Kalau nak gerak semula baru sapu buang balik bedak tu, lumur minyak, pakai stoking baru dan sarung semula boot. Jalan.
Jaga tau kulit kaki anda. Kulit kaki siap boleh lekang gitu saja kalau kulit dah kecut sangat.
Kulat air 'toksah' ceritalah. Keluar hutan siaplah merenyam gatal celah-celah jari kaki tu.
Gitulah. Ada la sikit pengalaman tu."
Moga bermanfaat. Selamat Mencuba!
Sumber: Hayana Darliz
Artikel asal di Mingguan Wanita
Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !