Louis Vuitton: Naomi Campbell dan Kate Moss kejutan di hari terakhir Kim Jones

Azyyati Ahmad
Januari 19, 2018 19:54 MYT
Kedua-dua supermodel itu menyarung kot panjang monogram LV bersama kasut but LV dan kemudian muncul semula berpegangan tangan bersama Jones bagi memberi hormat kepada tetamu yang hadir. - Foto AP
PENGARAH dan Pereka Artistik pakaian lelaki jenamamewah Louis Vuitton (LV), Kim Jones mengakhiri hari terakhirnya bersama jenama itu di finale pentas peragaan untuk Minggu Fesyen Lelaki di Paris pada Khamis.
Paling menarik, pada hari terakhirnya, supermodel antarabangsa Kate Moss dan Naomi Campbell membuat kejutan i hujung peragaan koleksi musim luruh 2018 rekaan Jones.
Kedua-dua supermodel itu menyarung kot panjang monogram LV bersama kasut but LV dan kemudian muncul semula berpegangan tangan bersama Jones bagi memberi hormat kepada tetamu yang hadir.
Pengumuman untuk keluar dari Louis Vuitton dibuat Jones sebelum koleksi tersebut dipamerkan kepada umum, lapor The Guardian.
Antara nama besar yang hadir di pentas peragaan Louis Vuitton adalah selebriti Victoria Beckham, David Beckham, Virgil Abloh, Olivier Rousteing, Virgil Abloh, Humberto Leon dan Heron Preston.
Jones, 38 tahun mula berkhidmat untuk LV pada tahun 2011 menggantikan tempat Paul Helbers dan sangat dikenali dengan rekaan fesyen lelaki yang mempunyai pengaruh kepada industri fesyen dunia.
Sebelum mencipta nama dengan LV, Jones pernah bekerja dengan jenama-jenama seperti Uniqlo, Topman, Umbro by Kim Jones, Mulberry, Alexander McQueen, Hugo Boss dan Iceberg.
Jones juga dikhabarkan akan menyertai jenama Burberry, namun perkara itu belum dapat disahkan lagi.
#Kate Moss #Kim Jones #Louis Vuitton #LV #Naomi Campbell
;