Lokasi percutian, syurga kulinari wajib singgah di Hatyai

Faida Rahim
September 21, 2022 17:52 MYT
Perkhidmatan kereta api yang menghubungkan Hat Yai di Thailand ke Padang Besar di Malaysia disambung semula pada Julai lalu sekali gus menjadikan perjalanan antara kedua-dua negara menjadi lebih mudah. - Sumber foto/unsplash
KUALA LUMPUR: Bandar raya Hatyai kembali menjadi tumpuan rakyat Malaysia selepas wabak COVID-19 semakin pulih dan pembukaan semula sempadan Thailand-Malaysia sejak 1 April lalu.
Dianggarkan seramai 220,554 pelancong Malaysia dilaporkan memasuki negara jiran itu melalui lintasan sempadan darat iaitu masuk melalui Sadao, Bukit Kayu Hitam dan Ban Prakop sejak Julai lalu.
Manakala perkhidmatan kereta api yang menghubungkan Hatyai di Thailand ke Padang Besar di Malaysia disambung semula pada Julai lalu sekali gus menjadikan perjalanan antara kedua-dua negara menjadi lebih mudah.
Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Khoo Boo Lim memaklumkan kepada Bernama. rakyat Malaysia gemar membawa keluarga bercuti di Hatyai ketika cuti sekolah.
“Perjalanan yang singkat dan murah, makanan yang sedap serta tempat penginapan yang murah antara tarikan rakyat Malaysia suka berkunjung ke Hatyai,” katanya.
Dalam pada itu, bermula 1 Oktober ini, pelancong dari 64 negara dan wilayah dalam senarai pengecualian visa termasuk Malaysia boleh tinggal di Thailand sehingga 45 hari berbanding tempoh semasa 30 hari. Jika anda merancang untuk ke Hatyai, boleh lawati ke lokasi berikut;
1) Hat Yai Park Municipal Park.
Terletak kira-kira enam kilometer dari pusat bandar Hatyai, lokasi ini menjadi tumpuan pelancong untuk menikmati keindahan bandar dari puncak bukit.
Lokasi ini merupakan taman keagamaan kerana di situ terletaknya statu atau patung Buddha.
Antara tarikan pelancong di sini adalah patung besar Guan Yin, patung Buddha Ketawa dan patung Buddha Berdiri.
Lokasi: Kho Hong, Hat Yai District.
2) Hatyai Cable Car.
Terletak di Hatyai Municipal Park, pengunjung boleh menikmati pemandangan indah sekitar bandaraya Hatyai. Tiket berharga 200 Baht (RM25) dan boleh dinaiki di stesen Thao Maha Phrom dan di Phra Buddha Mongkol Maharaj.
Lokasi: Kho Hong, Hat Yai District.
3) Kim Yong Market.
Di sini terletaknya ‘syurga’ kudapan dengan harga berpatutan. Bukan sahaja makanan, untuk mereka yang berhasrat mencari cenderahati atau membeli pakaian, kasut dan banyak lagi, di sini tempatnya.
Lokasi: Sang Aretit Road
4) Masjid Pusat Songkhla.
Ramai beranggapan Thailand destinasi yang hanya sesuai untuk penganut Buddha.
Namun, sebenarnya, Thailand juga mempunyai sisi yang mampu menambat hati pengunjung Muslim.
Masjid Pusat Songkhla mendapat jolokan ‘Taj Mahal’ di Thailand.
Reka bentuk dan saiznya yang luas menjadi pilihan pelancong untuk singgah di sini.
Lokasi: Khlong Hae, Hat Yai District
5) Asean Night Bazaar.
Salah satu lokasi tumpuan untuk beli belah di Hatyai. Bangunan dua tingkat ini menyediakan ruangan membeli pakaian, aksesori, bag tangan dan juga tersedia ratusan gerai makan yang menyelerakan.
Alamat: Thonon Chotevittayakul 5, Tambon Hat Yai, Hat Yai District
#Hatyai #lokasi menarik #Thailand #pelancong
;