Linopot om rinukut: Kulinari misali Momogun Dusun

Prof Madya Dr Ramzah Dambul
Januari 8, 2019 10:32 MYT
Membuat linopot ini bagai satu ritual, kerana prosesnya unik dan cermat. - Foto Ramzah Dambul
LINOPOT adalah seni kulinari signature bagi komuniti Momogun. Ia disebut dengan bunyi fonetik: li-nē-pēt (i.e. vokal 'o' dibunyikan dengan 'e pepet'; mengikut laras sebutan baku Dusun Bunduliwan).
Linopot bermaksud bungkusan. Kata dasar adalah 'lopot' (i.e. bungkus atau lipat). Ini satu bentuk tata budaya komuniti Momogun menghidangkan nasi.
Beras untuk linopot, mengikut tradisi asli, adalah padi huma. Boleh dibikin dengan nasi semata-mata, atau kadangkala nasi yang sudah digaul dengan gu'ol (keladi), tawadak (labu manis), mundok (ubikayu) atau kasou (keledek).
Daun untuk membungkus pun ada macam-macam. Tujuh jenis paling tipikal adalah: wonihan, punti (pisang), timadang (tarap), kobu, tintap, longkobung dan toropoi. Setiap satu ada kesan aroma tersendiri; dipilih mengikut jenis dan tujuan kulinari. Itulah salah satu ciri eksotik masyarakat Momogun. Mereka intim dengan alam, dan bijak bermesra dengan pohon-pohonan.
Membuat linopot ini bagai satu ritual – sebab prosesnya unik dan cermat. Ia perlu penjiwaan seni yang tinggi. Paling penting, imbangan aroma beras huma (yang ada pelbagai variasi) mesti dijaga supaya sedondon dengan wangi asli daun yang dipilih.
Cara nasi ditanak dan diadun mesti ngam. Jangan terlalu keras, atau terlampau lembik. Untuk membangkitkan tikaman selera Momogun asli, linopot selalunya dihidang bersama rinukut, iaitu kombinasi aneka sinamai atau panganas (lauk pauk) tradisional. Jumlah selalunya ganjil; sebagai misal turu rinukut (tujuh jenis lauk) atau siam rinukut (sembilan). Paling minima tolu rinukut (tiga).
Bergantung kepada acara, musim dan lokaliti semulajadi di sekeliling — sub-etnik Momogun yang berbeza mempunyai metode linopot om rinukut yang berlainan. Tapi asas budaya dan falsafah kulinari tetap sama. Ia satu perlambangan survival, bukan sekadar estetika.

* Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul merupakan seorang birokrat federal, saintis menara gading serta penyair dan pelukis indie.
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI
#gastronomi #linopot #makanan sabah #ramzah dambul #rem dambul #Sabah
;