LINE Indonesia hapuskan pelekat bertemakan LGBT

Syafique Shuib
Februari 12, 2016 19:44 MYT
LINE Indonesia menyesal dengan membenarkan pelekat itu dijual sehingga menimbulkan rasa kurang selesa para pengguna dan pemerhati tempatan.
Perkhidmatan pesanan ringkas LINE di Indonesia akhirnya menghapuskan pelekat-pelekat yang bertemakan LGBT setelah mendapat desakan oleh pihak kerajaan dan para pengguna.
Pelekat itu menampilkan pasangan gay dan lesbian dan boleh dibeli menerusi perkhidmatan itu.
Ia boleh digunakan sebagai emoji ketika berhubung dengan rakan-rakan.
Menurut satu kenyataan yang dikongsi menerusi laman Facebook mereka, pihak LINE Indonesia menyesali tindakan membenarkan pelekat itu dijual sehingga menimbulkan rasa kurang selesa para pengguna dan pemerhati tempatan.
“Kami sedang menyelesaikan masalah ini terutamanya dalam proses menghapuskan pelekat-pelekat tersebut.
“Kami berpegang kepada prinsip global iaitu untuk menapis kandungan-kandungan yang dianggap sensitif dari perspektif budaya tempatan,” kata syarikat itu di Facebook.

LINE menyesalkan kejadian beberapa stiker yang dianggap sensitif oleh banyak orang telah menyebabkan timbul rasa kurang...

Posted by LINE Indonesia on
Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Penerangan Indonesia menyambut baik tindakan LINE Indonesia.
“Kami menghargai langkah yang diambil LINE Indonesia dalam hal yang mempunyai potensi untuk menimbulkan keresahan masyarakat, khususnya kebimbangan kaum ibu terhadap anak-anak atas adanya pengaruh negatif dari pelekat LGBT itu,” kata seorang jurucakap, dipetik dari laman web kementerian itu.
Lapor AFP, pihak kerajaan juga menggesa media sosial yang lain seperti Twitter, Facebook dan WhatsApp untuk turut menghapuskan emoji bertemakan LGBT.
#Kementerian Komunikasi dan Penerangan Indonesia #LGBT #LINE Indonesia
;