Lima tabiat punca pendingin hawa kereta cepat rosak

Maskulin
November 12, 2022 12:10 MYT
Tidak kiralah apa jua kenderaan, sebagai individu yang akan berada di dalamnya pastikan anda elak lima perkara ini. - Maskulin
SELAIN melakukan servis secara berkala terdapat beberapa perkara perlu anda tekankan dan ambil berat.
Salah satunya tidak mengamalkan beberapa tabiat yang dipercayai boleh menyebabkan ia mudah rosak.
Bagi mengelakkan pendingin hawa kereta anda cepat rosak, pastikan anda ubah tabiat buruk dan adab semasa berada di dalam kenderaan.
Tidak kiralah apa jua kenderaan, sebagai individu yang akan berada di dalamnya pastikan anda elak lima perkara ini.
BUKA TINGKAP KETIKA PENDINGIN HAWA TERPASANG
Antara kebiasaan yang sering kita buat adalah membuka tingkap kereta terlalu lama biarpun ketika itu 'aircond' masih terpasang.
Tindakan ini menyebabkan kompresor terpaksa beroperasi lebih dari biasa untuk mendapatkan suhu yang ideal, padahal tanpa sedar kita sedang membuka ruang yang sangat besar.
Jika berlarutan, tidak mustahil aircond dalam kenderaan anda mudah dan cepat rosak.
SUKA MEROKOK DALAM KERETA
Jangan biasanya diri untuk merokok sesuka hati termasuk semasa berada dalam kenderaan.
Ini kerana asap serta debu dari rokok berisiko untuk tembus ke bahagian penapis udara dan pengaliran tersebut menyebabkan penapis jadi cepat kotor kerana habuk.
Akibatnya, tahap kesejukan 'aircond' dalam kenderaan menjadi tidak optimum.
KERETA BERSEPAH DAN BERHABUK
Ketahuilah jika anda membiarkan sampah dan kotoran bersepah dalam kabin, ia bukan sahaja menyebabkan kenderaan anda nampak bersepah malah debu juga boleh melekat secara berterusan.
Faktor ini memberi kesan kepada aircond kerana debu dan habuk yang terhasil akan masuk dan keluar dari penapis 'aircond' sekali gus membuatkan komponen itu mudah untuk rosak.
PAKAI PEWANGI JENIS GEL
Pewangi jenis gel boleh berubah kepada gas dan berwap. Misalnya apabila terkena suhu sejuk, wap tersebut berubah kembali kepada bentuk gel dan boleh menghalang penapis dan evaporator atau 'cooling coil' dalam alat pendingin hawa.
Sehubungan itu, anda digalakkan untuk menggunakan pewangi yang bersifat cecair untuk mengelakkan perkara tersebut.
ENJIN DIMATIKAN SECARA MENGEJUT
Sebelum matikan enjin, sila tutup pendingin hawa terlebih dahulu. Jika tidak, semasa mahu hidupkan enjin, aircond terpaksa bekerja secara automatik. Anda perlu tahu bahawa bateri antara terbeban untuk beroperasi semasa enjin dihidupkan.
Disebabkan prestasi bateri tidak begitu maksimum, arus elektrik yang terhasil akan jadi kurang stabil dan perkara ini seterusnya mempengaruhi pengaliran elektrik bagi pendingin hawa. -Maskulin
#pendingin hawa kereta #tabiat #mudah rosak #kenderaan
;