Lima perkara yang mungkin anda rindu selepas tamat PKP

Nursyazwani Saiful Sham
Mei 18, 2020 13:49 MYT
Antara perkara yang akan dirindui selepas PKP adalah sidang media oleh KKM dan trend 'dalgona coffee'. - Foto BERNAMA/UNSPLASH
JIKA pada awal tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan rakyat negara ini berkongsi pelbagai emosi mereka, kini kebanyakan rakyat sudah terbiasa dengan tuntutan yang diarahkan.
Pastinya ada yang tidak sabar untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa, walaupun kelonggaran sudah dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sebagai langkah keselamatan, garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih perlu dituruti.
Bagaimana agaknya kehidupan selepas keseluruhan tempoh PKP ditamatkan? Itu kita sama-sama nantikan.
Ini adalah lima pekara yang mungkin anda akan merindui selepas tamat tempoh PKP;
1) Bekerja dari rumah
Sejurus selepas pengumuman pelaksanaan PKP, kebanyakan syarikat di negara ini mengambil keputusan untuk membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah sebagai langkah keselamatan.
Pelbagai reaksi yang dapat kita lihat melalui media sosial apabila netizen berkongsikan pengalaman mereka bekerja dari rumah.
Ada yang hanya bersiap dari paras badan ke atas kemudian menyarungkan seluar tidur, ada yang terpaksa menyorok dari pandangan anak-anak, ada juga yang bersiap sepenuhnya untuk pastikan ‘ada mood’ ketika bekerja dari rumah.
Apa pun yang terpaksa anda harungi, pastinya bekerja dari rumah adalah antara perkara yang anda akan rindui sekembalinya ke pejabat nanti!
2) Pengumuman perkembangan COVID-19
Sepanjang tempoh PKP, antara tumpuan yang dinantikan setiap hari adalah sidang media perkembangan COVID-19 di negara ini.
Hampir setiap hari pasti ada sidang media oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Sebagai rakyat yang prihatin, kami pasti anda dan seluruh keluarga menantikan perkembangan ini setiap hari.
Namun, selepas PKP tamat nanti, adakah anda akan masih menantikan sidang media ini setiap hari walaupun sudah menjalani kehidupan seperti biasa?
3) Akses percuma kepada semua saluran filem untuk para pelanggan Astro
Selain melayari internet dan mendapatkan perkembangan terkini di media sosial, kami pasti masa yang terluang duduk di rumah juga diisikan dengan menonton pelbagai program menarik di televisyen.
Apatah lagi selepas Astro membuka akses percuma kepada semua saluran filem untuk para pelanggannya.
Ketika tempoh PKP ini kami pasti anda sudah menonton filem ‘blockbuster’ seperti ‘Avengers: End Game’
dan ‘Parasite’.
4) “Dalgona coffee”
Tidak dapat pergi ke kafe untuk menikmati secawan kopi ketika PKP? Tiada masalah!
Selepas lebih 50 hari duduk di rumah, anda tentu sudah cuba untuk memberu ‘dalgona coffee’ kan?
Bukan hanya ‘dalgona coffee’ tetapi macam-macam resepi yang viral sudah anda cuba kan?
Trend seumpamanya ketika PKP ini mesti anda rindu apabila terkenang semula!
BACA: Dalgona Coffee kini jadi kopi paling popular sempena tempoh 'duduk rumah'
5) Kebersamaan rakyat
Jika sebelum ini, temasya sukan antara aktiviti yang menyaksikan kebersamaan rakyat, semangat sama dapat disaksikan sepanjang tempoh PKP.
Lebih-lebih lagi apabila kita semua dikehendaki untuk duduk di rumah dan membantu barisan hadapan menjalakan tugas mereka demi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.
Semoga sifat kebersamaan ini tidak terhenti setakat tempoh PKP, tetapi sepanjang masa dalam usaha memerangi COVID-19. Kita masih belum menang, sama-sama kita jalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi pandemik ini.
BACA: Rakyat Malaysia kekal duduk di rumah, hadiah hari lahir paling istimewa buat Dr Noor Hisham
#Astro #coronavirus #COVID-19 #dalgona coffee #kerja dari rumah #KKM #MKN #perintah kawalan pergerakan #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKP #PKPB
;