Lima aroma paling ditakuti lipas di rumah!
Astro Awani
Julai 17, 2023 09:00 MYT
Julai 17, 2023 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kehadiran lipas di dalam rumah ternyata amat mengganggu isi rumah. Tetapi jangan khuatir kerana anda boleh mengusir lipas dengan menyebarkan aroma tertentu.
Selain tikus, lipas juga merupakan salah satu hidupan yang menyebarkan pelbagai patogen. Lipas boleh menyebarkan bakteria secara tidak langsung melalui makanan dan permukaan yang disentuh.
Sebagai contoh, bakteria Salmonella, Staphylococcus, Streptococcus, E-coli, Pseudomonas aeruginosa, dan Klebsiella pneumoniae.
Makanan yang tercemar dengan bakteria Salmonella boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti cirit-birit.
Berikut merupakan cara semulajadi untuk mengusir lipas adalah dengan menyebarkan aroma tertentu!
1) Lavender
Aroma lavender mampu memberikan kesan tenang kepada manusia tetapi tidak kepada lipas. Memetik laporan A-Z Animals, lipas amat benci dengan bau lavender.
Oleh itu, menanam pokok lavender di halaman rumah atau mencampurkan minyak pati lavender dengan air seterusnya semburkan di seluruh kawasan rumah merupakan idea yang tepat.
2) Pudina
Daun pudina mengandungi kepekatan mentol sekali gus boleh membunuh lipas. Untuk hasil terbaik, campurkan minyak pudina dengan air. Gunakan campuran ini untuk disembur di seluruh kawasan rumah.
3) Serai
Serai paling mudah didapati malah ia antara bahan kegunaan seharian dalam masakan. Tidak hanya itu, pelbagai produk berasaskan serai juga banyak dihasilkan termasuk sebagai penghalau lipas.
4) Daun salam
Bukan sahaja digunakan dalam masakan, daun salam juga turut digunakan untuk menghasilkan pati haruman dan wangian.
Aromanya bukan hanya mampu menghalau lalat malah lipas juga tidak gemar dengan baunya. Caranya mudah, hancurkan daun salam dan simpan dalam mangkuk. Letakkan mangkuk ini di kawasan yang sering dilalui lipas.
5) Catnip
Pokok Catnip digemari oleh kucing namun ditakuti lipas. Menurut kajian, pokok ini menghasilkan minyak yang dipanggil Nepetalactone yang dikatakan lebih efektif daripada racun serangga.
Anda hanya perlu rebus daun catnip selama 10 minit. Biarkan dingin sebelum air rebusannya dimasukkan ke dalam botol penyembur. Selepas itu, semburkan di kawasan lipas berkumpul.