Letak 'essential oil' dalam makanan, sejauh mana kebaikannya?

Khairunnisa Kasnoon
Jun 20, 2021 21:31 MYT
Essential oil merujuk kepada minyak yang diekstrak daripada tumbuhan beraroma. - Gambar hiasan
Bolehkah letak essential oil (EO) atau minyak pati dalam makanan? Itu antara persoalan yang kerap ditanya pengguna minyak berkenaan yang selalunya digunakan untuk tujuan terapi.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sain Gunaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Che Puteh Osman, EO yang dikategorikan sebagai kosmetik di Malaysia tidak boleh digunakan sebagai makanan.
“EO yang pekat boleh merengsa saluran pemakanan sekiranya dimakan begitu sahaja.
"Ada produk syarikat pengeluar EO yang berdaftar sebagai ubat, tetapi bahan aktifnya bukan 100 peratus EO,” katanya.
Katanya, EO merujuk kepada minyak yang diekstrak daripada tumbuhan beraroma dan mengandungi terpene, terpenoid terutamanya mono-, sesqui- dan diterpene/terpenoid, selain aldehid dan ester.
“Biasanya EO mengandungi dua hingga tiga sebatian kimia (yang) paling banyak (dominan) diikuti beberapa sebatian kimia lain dalam komposisi yang kecil.
"EO diekstrak dengan beberapa kaedah misalannya steam distillation, hydrodistillation, cold press dan lain-lain bergantung jenis bahan mentah.
"EO akan dimurnikan untuk menghasilkan bau yang menarik," katanya.
Beliau berkata, EO pekat sebenarnya boleh mencairkan plastik dan tidak stabil pada suhu bilik, justeru ia perlu sentiasa disejukkan.
“Sekiranya EO itu bertahan pada suhu bilik, maknanya ia telah dicampur dengan carrier oil," jelasnya.
Beliau berkata, EO dikatakan mempunyai manfaat dari segi memberi ketenangan, mengurangkan stres sekali gus mengurangkan permintaan terhadap ubat tahan sakit.
"Bagaimanapun, EO tidak merawat penyakit tersebut, namun (tidak dinafikan) ia meningkatkan toleran terhadap kesakitan.
Mengulas lanjut, Che Puteh juga memaklumkan, EO juga banyak digunakan sebagai perasa makanan, bergantung kepada gred EO tersebut.
“Kalau makanan, ia mestilah bahan GRAS (Generally Recognized As Safe), gred makanan. Contohnya perasa lemon, lime (limau nipis) dan lain-lain,” katanya lagi.
Beliau meminta orang ramai membuat rujukan produk di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum menggunakan EO sebagai bahan makanan.
Selain itu, katanya EO juga digunakan dalam kosmetik dan pembuatan peralatan mandian.
“Untuk tujuan perubatan pula, ia masih dalam kajian dan sekadar paliatif dan bukannya merawat penyakit," katanya lagi.
Katanya, kajian tabung uji banyak menunjukkan EO bertindak sebagai antibakteria dan antivirus.
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa kepekatan yang digunakan dalam kajian tabung uji bukanlah kepekatan yang selamat digunakan.
“Kajian tabung uji bukan bukti perubatan. Lagikan plastik pun boleh cair, maka pastikan anda mencairkan EO mengikut saranan pengeluar dan jangan gunakan EO untuk kegunaan selain yang disebut pada pembungkusan pengeluar,” pesannya lagi.

Artikel penuh dan rujukan https://t.co/6pYEAVOfRm

— Che Puteh Osman, PhD (@drcheputeh) June 14, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Bahagian Regulatori Farmasi Negara #UiTM #minyak #Essential Oil #EO #bolehkah diguna sebagai makanan #pati minyak
;