Lenggok zapin tidak 'lembik', sambil rai budaya boleh beriadah

Madiha Abdullah
Ogos 29, 2020 13:35 MYT
Zapin beri penekanan kepada pergerakan kaki, sekaligus menjadikannya aktiviti riadah yang baik. - Foto: Yayasan Warisan Johor
"PETIKLAH gambus taqasim lagu.. Tegap kekuda langkahnya sasa..
Bukan bendalu kita teraju.. Berkorban raga tegaklah bangsa..
Ya salam.. Ya salam.. Senandung ya salam..."
Aktiviti riadah yang berasaskan tarian bukanlah satu perkara asing. Aerobik dan zumba antara jenis tarian yang mendapat perhatian ramai, terutama bagi mereka yang kurang gemar aktiviti senaman yang konvensional.
Namun tidak ramai yang tahu atau sedar, tarian tradisional Melayu juga merupakan satu alternatif yang baik jika anda mahukan jenis senaman yang menyeronokkan tetapi dalam masa yang sama, boleh mengeluarkan peluh.
Pendapat sesetengah orang, tarian tradisional 'lembik' dan membosankan. Percayalah, pendapat itu sangat tidak relevan.
Penulis pernah bergiat aktif dalam aktiviti tarian tradisional suatu ketika dahulu. Kembali melenggokkan tangan, kaki dan badan selepas lama meninggalkan dunia tarian, ia mengingatkan penulis 'kerja keras' yang perlu dilalui setiap kali sesi latihan, kerana tarian tradisional sebenarnya aktiviti yang mencabar segenap otot di tubuh dan membuatkan anda mandi peluh.
Sebagai aktiviti riadah, ia juga berperanan melatih otak untuk sentiasa aktif kerana anda perlu mengingati setiap langkah tarian yang diajar, lengkap dengan 'bunga-bunga'nya.
Tidak percaya? Anda boleh cuba tarian zapin.
"Zapin berbeza dan tahap kesukarannya juga agak tinggi berbanding tarian joget dan inang. Ini kerana zapin mempunyai banyak ragam yang berlainan dan lentuk badan yang perlu diperhalusi.
"Kalau tarian joget dan inang, langkahnya tidak banyak, jadi kedua-duanya lebih mudah untuk dipelajari," kata Mohd Fariz Jamalludin, tenaga pengajar Kyrana Dance Group yang beroperasi di Ampang.
Dia yang sudah lebih 25 tahun bergiat aktif dalam tarian tradisional, mengakui tahap kesukaran yang tinggi itu memberi kelebihan tersendiri buat zapin.
"Kerana zapin lebih sukar dan beri penekanan kepada gerak tari menggunakan kaki, ia sesuai dijadikan aktiviti riadah atau senaman yang efektif," ujarnya.
Bagi pelajar pula, biarpun mencabar, zapin beri kepuasan dan keseronokan tersendiri.
"Ragam yang pelbagai membuatkan zapin sedikit susah, tetapi tidaklah sampai menghilangkan keseronokannya.
"Sebagai aktiviti riadah, ia memang bagus sebab banyak menggunakan kaki. Kadang-kadang semput jugalah," kata Wan Zuhaitul Ima Saad, yang sudah lebih setahun mengikuti kelas tarian tradisional.
Seorang lagi pelajar, Mazlin Abu Bakar, menyifatkan zapin sebagai satu platform riadah yang mengajarnya menjadi lebih fokus.
"Zapin banyak jenisnya. Kalau dapat jenis yang sukar, penting untuk fokus.
"Memang menyeronokkan, cuma kalau di peringkat awal dan tak biasa, akan rasa lenguh kaki juga. Tetapi itu biasalah, mana-mana riadah pun sama," katanya.
Paling berharga, aktiviti riadah seumpama ini juga membantu kita mengenali seni dan salah silah keturunan, menyemai kecintaan pada akar budaya yang mentunjangi susur galur kehidupan.
"Zapin adalah salah satu keunikan budaya kita, bukan sahaja untuk bangsa Johor, tetapi kita seluruh rakyat Malaysia.
"Saya harap lebih ramai masyarakat kita yang menjadikan tarian tradisional sebagai satu bentuk aktiviti riadah kerana ia bukan saja menyeronokkan dan menyihatkan tetapi juga beri kita peluang mengenali seni budaya kita," tambah Mohd Fariz.
Jadi selepas ini jika ada yang mengajak, let's work out, bangun dan atur langkah, lenggok zapin.
Bak kata Noraniza Idris, tegapkan kekuda, tegakkan bangsa.
Mari berzapin!

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Melayu #riadah #senaman #shm #tarian #tarian tradisional #weekender #zapin
;