Lelaki Perancis belayar keliling dunia ditemani ayam

Nizam Bakeri
Jun 13, 2016 20:58 MYT
Pengembaraan Guirec dan Monique diikuti para peminat di laman Facebook dan Instagram mereka - Foto Facebook/Voyage d'Yvinec
ANDAI berpeluang belayar mengelilingi dunia, siapakah yang akan anda bawa bersama-sama?
Kebanyakannya tanpa ragu akan menjawab: orang yang tersayang.
Namun bagi jejaka Perancis, Guirec Soudee, dia lebih selesa ditemani seekor ayam betina yang dinamakan Monique.
Menurut BBC, lelaki berusia 24 tahun itu sudah dua tahun belayar bersama ayam peliharaannya dan pengembaraan ini mula mendapat perhatian media tempatan apabila dikongsi melalui media sosial.
Video terbaharu yang dikongsi di Facebook misalnya setakat ini mencatat lebih 1.3 juta tontonan:
Teman dan telur
Bermula Mei 2014, Guirec dan Monique belayar dari Canary Islands menuju ke St Bart di kepulauan Carribean. Kini bot mereka berada di Greenland.
“Ketika mula belayar, dia (Monique) berusia empat hingga lima bulan. Pada mulanya saya terfikir untuk mendapatkan kucing, tetapi terlalu banyak yang perlu diuruskan,” jelas Guirec.
Tambahnya, ayam dipilih sebagai teman kembara kerana bekalan telur yang bakal diperoleh ketika berada di laut.
Secara purata, Monique menghasilkan enam biji telur seminggu walaupun ketika berada di kawasan beriklim dingin seperti Greenland.
Cabaran kembara
Guirec membenarkan Monique merayau di dalam botnya yang berukuran hampir 12 meter.
Namun dalam cuaca buruk seperti ribut kencang, Monique akan dimasukkan ke dalam reban yang dibina khas di dalam bot.
Guirec juga perlu peka dengan peraturan kuarantin haiwan yang berbeza bagi setiap negara. Setakat ini, mereka tidak berhadapan dengan sebarang masalah kecuali disoal siasat pihak kastam ketika tiba di Kanada.
Perjalanan mereka seterusnya bakal merentas Selat Bering menuju ke Alaska.
#Ayam #belayar #Guirec Soudee #Monique
;