Lelaki 'lebih beremosi' berbanding wanita di tempat kerja - Anda setuju?

Faris Danial Razi
Januari 18, 2020 02:46 MYT
Totaljobs dari United Kingdom itu menunjukkan data tersebut selepas mengaji selidik seramai 2,250 pekerja dan majikan bagi bertanyakan soal emosi mereka sewaktu di tempat kerja. - Gambar fail
SETIAP manusia diciptakan mempunyai emosi yang tersendiri. Tidak kira golongan lelaki mahupun wanita, pastinya ada waktu-waktu yang mana kita lebih beremosi.
Ada yang melihat golongan wanita ini lebih beremosi berbanding lelaki, dan acapkali tidak tahu punca sebenar mengapa mereka marah atau beremosi tidak tentu pasal.
Namun, baru-baru ini terdapat sebuah kajian yang membuktikan bahawa kaum lelaki lebih sensitif daripada wanita dalam persekitaran kerja.
Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa lelaki dua kali lebih berkemungkinan untuk naik angin atau marah tidak tentu pasal apabila sesuatu yang tidak kena berlaku kepada mereka di tempat kerja.
Totaljobs dari United Kingdom itu menunjukkan data tersebut selepas mengkaji selidik seramai 2,250 pekerja dan majikan bagi bertanyakan soal emosi mereka sewaktu di tempat kerja.
Pada masa sama, kajian mendapati bahawa lelaki lebih cenderung untuk beremosi ataupun murung apabila idea mereka tidak mendapat sambutan ataupun dikritik.
Lebih-lebih lagi, mereka ini tiga kali ganda lebih beremosi jika ia melibatkan sebuah projek yang dirancangkan mereka telah melepasi ‘deadline’ (tarikh akhir untuk sesuatu projek disiapkan).
Itu membuktikan bahawa kaum lelaki lebih menunjukkan emosi yang berkaitan dengan projek atau sebarang urusan kerja dan bukannya beremosi yang berpunca daripada orang lain.
Dalam kajian yang dibuat oleh Totaljobs itu juga, kebanyakan responden mereka tidak dapat meluahkan emosi atau menunjukkan perasaan secara bebas apabila berada di pejabat.
Kira-kira 60 peratus daripadanya memberitahu, tempat kerja bukanlah tempat yang sesuai untuk meluahkan emosi atau perasaan, sementara yang selebihnya menyatakan bahawa mereka lebih suka berlapik, iaitu hanya memaparkan emosi yang positif sahaja kepada orang di sekeliling tempat kerja.
Sementara itu, Totaljobs menyatakan, hal ini tidak mempunyai penyelesaian yang mudah iaitu bagi mewujudkan suasana tempat kerja yang optimum.
Dalam pada itu, syarikat dari United Kingdom itu hanya mencadangkan tentang cara-cara golongan lelaki dan wanita ini boleh mengawal emosi mereka dengan baik.
Ia termasuklah dengan mencadangkan bahawa kesemua pihak di tempat kerja boleh membentuk emosi yang baik dengan cara bersenam dan berkongsi hal atau masalah dengan rakan sekerja yang boleh dipercayai.
Jadi, bagi anda yang sudahpun memasuki ke alam pekerjaan ataupun sudah bertahun-tahun bekerja, adakah anda bersetuju dengan hasil kajian ini?
#emosi #kaji selidik #lelaki #lelaki lebih beremosi #marah #murung #naik angin #pekerjaan #sensitif #suasana kerja #tempat kerja #Totaljobs #United Kingdom #wanita