Lelaki ini rimas jumpa sampah dibuang sembarangan, ini seruannya pada warga KL dan komuniti basikal
Afiezy Azaman
September 12, 2020 10:00 MYT
September 12, 2020 10:00 MYT
SEJAK kebelakangan ini, media sosial dibanjiri trend orang ramai memuat naik gambar berbasikal malah ada yang menukar hobi kepada aktiviti itu dan tidak lupa juga mereka yang sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk memiliki basikal.
Aktiviti itu sungguh menggalakkan terutamanya melihat kepada faktor kesihatan yang mana tahun 2020 ini banyak menyedarkan kita tentang sudut kesihatan selepas COVID-19 melanda negara.
Namun sedar tidak sedar, sebenarnya aktiviti berbasikal, berjoging dan aktiviti senaman lain boleh diselitkan dengan tanggungjawab sosial kita kepada alam sekitar untuk memastikan negara bersih dan imejnya terpelihara.
Malah, usaha itu tidak seharusnya hanya bergantung kepada pekerja pembersihan, ia perlu dilakukan tanpa mengira pangkat serta darjat.
Bagi seorang peminat aktiviti basikal dan pencinta pelancongan, Rudy Irwan Shukaime, aktivitinya pada waktu senggang dengan melawat kawasan di sekitar ibu negara sering saja disulami dengan rasa 'kecewa' dan 'sakit mata'.
Semuanya apabila dia melihat banyak tempat tarikan yang menjadi tumpuan pengunjung dicemari sampah yang dibuang sembarangan, apatah lagi dalam musim pandemik ini, pelitup muka juga bersepah-sepah ditinggalkan pemakainya tanpa rasa bersalah.
Atas inisiatif dan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia, Rudy yang memegang portfolio Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) membiasakan diri menjalankan aktiviti riadahnya pada waktu senggang dengan satu misi tambahan - mengutip sampah di setiap lokasi yang disinggahinya.
“Sebelum aktiviti berbasikal, saya juga berjoging sambil mengutip sampah sebelum ini. Selain menjadi satu aktiviti yang sihat, kita juga sebenarnya mahu melihat pemandangan yang cantik.
“Jadi apabila melihat sampah-sarap yang bertaburan, jadi tidak sedap mata memandang kerana ini melibatkan imej negara.
“Ya saya tahu, kita ada pekerja pembersihan, tetapi sebagai rakyat Malaysia kita mempunyai tanggungjawab juga kepada alam sekitar dan bukan hanya terletak kepada pekerja pembersihan hanya disebabkan mereka dibayar gaji,” katanya.
Mengulas lanjut, Rudy berkata selain mengutip sampah, dia juga dapat melihat infrastruktur serta fasiliti kemudahan awam yang mengalami kerosakan untuk dilaporkan kepada pihak berwajib.
“Saya akan melaporkan kepada pihak berwajib mengenai apa dan di mana ia mengalami kerosakan dan perlu diselenggara selain memuat naik gambar berkaitan kerosakan itu di media sosial supaya orang awam peka akan perkara itu.
“Ini dapat membantu mengelakkan sebarang insiden atau kemalangan jalan raya kepada orang ramai terutamanya pejalan kaki.
“Terdapat beberapa jalan yang berlubang di Kuala Lumpur dan memandangkan aktiviti bebasikal sedang menjadi trend serta banyak kenderaan lain yang melalui jalan raya bagi saya perkara ini perlu diberi perhatian,” jelasnya.
Aktiviti itu kadang-kala dilakukan secara bersendirian atau bersama rakan-rakannya ketika berbasikal mengelilingi ibu negara malah dia turut merancang mahu meluaskan lagi usaha murni itu di kawasan lain.
Tambah Rudy, apa yang mengecewakannya ialah apabila melihat sampah-sarap seperti bekas makanan, botol, plastik malah pelitup muka yang kebanyakannya dibuang di tempat letak kenderaan.
“Sudah lama saya perhatikan ketika berbasikal, sampah yang sering dibuang oleh masyarakat ialah pelitup muka,” katanya.
Jelas, cerita dikongsikan Rudy memberi gambaran bahawa masih ramai individu yang tidak prihatin akan masalah alam sekitar serta menjaga kebersihan tempat awam.
Dia turut menyeru kepada masyarakat untuk mengubah sikap suka membuang sampah merata-rata kerana ia bukan sahaja memberikan imej buruk kepada negara, malah memberi kesan kepada keselamatan dan kesihatan.
“Saya berbasikal ada misinya, bukan sahaja untuk kesihatan dan mengisi masa lapang tetapi misi membantu memastikan bandar raya kita bersih kemudahan diselenggara dengan baik.
“Kepada kumpulan berbasikal di luar sana, saya menyeru agar sambil melakukan aktiviti itu kita lihat juga persekitaran kerana sebagai rakyat Malaysia ini adalah tanggunjawab kita pastikan negara bersih dan selamat untuk diduduki.
“Kita tidak perlu meletakkan tanggungjawab kepada pekerja pembersihan kerana ini ialah tanggungjawab sosial dan masanya untuk kita berikan kepada masyarakat,” ujarnya.
Justeru kepada individu atau kumpulan berbasikal di luar sana, apa misi anda ketika berbasikal?
#Astro Awani
#berbasikal
#Bersih
#Infrastruktur
#kemalangan
#keselamatan
#kesihatan
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#mengutip sampah
#pelitup muka
#rakyat
#Rudy Irwan Shukaime
#shm
#weekender