Lelaki bina taman untuk isteri buta nikmati wangian bunga

Nizam Bakeri
Februari 20, 2016 20:58 MYT
Pasangan Koruki telah berumahtangga selama 50 tahun dan pernah membela 60 ekor lembu di tanah yang kini menempatkan taman bunga mereka - Foto YouTube/Asahi Shimbun
ANTARA hujung Mac hingga April setiap tahun, tujuh ribu pelancong akan berkunjung ke sebuah taman bunga di bandar Shintomi setiap hari.
Yang menarik perhatian mereka bukan sahaja hamparan bunga merah jambu yang dikenali sebagai shibazakura, namun kisah cinta di sebalik pemandangan indah itu.
Menurut Rocket News 24, taman seluas 3.3 meter persegi itu dimiliki pasangan suami isteri Toshiyuki Koruki dan isterinya, Yasuko. Tanah tersebut mula diusahakan sejak mereka berkahwin 50 tahun lalu.
Pada tahun 1986, Yasuko dijangkiti diabetes kronik yang menyebabkannya buta. Hal ini menyebabkan Yasuko tertekan dan mula memencilkan diri di dalam rumah kerana kecewa tidak dapat meneruskan percutian yang telah dirancang dengan suaminya.
Hiba dengan kemurungan Yasuko, Toshiyuki berazam mencari jalan untuk menghiburkan hati isterinya.
Kuntum shibazakura di laman rumah memberi Toshiyuki ilham. Walau tidak terlihat mekar bunga oleh isteri nan buta, bukankah indah bunga tercium pada wanginya?
Toshiyuki mengambil masa dua tahun untuk menebang pokok, menyiapkan asas taman, dan menjaga tunas bunga yang masih muda.
Kini, hamparan bunga merah jambu itu berjaya mengembalikan semula senyum pada wajah Yasuko dan menjadi bukti mekar sebuah cinta.
#taman shibazakura di Shintomi #Toshiyuki Koruki #Yasuko Koruki
;