Legoland terima respons positif di ATF
Bernama
Januari 23, 2013 21:32 MYT
Januari 23, 2013 21:32 MYT
Legoland Malaysia menerima respons baik daripada industri pelancongan di Forum Pelancongan Asean (ATF) di sini.
Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland Malaysia, Thilakavathy Munusamy berkata agen pengembaraan dari Timur Tengah, Australia, New Zealand, India, Filipina, Thailand dan Indonesia menunjuk minat dalam memasukkan produk tersebut dalam pakej mereka.
"Mengejutkan, kami turut menerima respons baik dari agen pengembaaran Malaysia kerana mudah bagi mereka untuk berbincang dengan kita di bawah satu bumbung ketika mengambil bahagian di ATF," katanya kepada Bernama di luar ATF.
Legoland Malaysia merupaka taman tema lego keluarga pertama di Asia yang terletak di Nusajaya, Johor dan dibuka pada September tahun lalu.
Ia menyediakan lebih 40 permainan, pertunjukan dan tarikan di kawasan seluas 30 hektar yang mengandungi tujuh taman tema dibina daripada lebih 50 juta bongkah lego.
Mengenai respons pengunjung, Thilakavathy berkata jumlah pengunjung telah telah melebihi sasaran awal yang ditetapkan.
"Kami menerima 50 peratus pengunjung dari Malaysia dan 50 peratus lagi dari Singapura," katanya.
Beliau berkata taman tema itu mudah dikunjungi pelawat dari Kuala Lumpur dan Singapura.
"Selalunya, pelancong dari Singapura akan ke Universal Studio (di Singapura) terlebih dahulu diikuti Legoland sementara pelancong dari Malaysia akan pergi ke Legoland dalulu kemudiannya Universal Studio," katanya.
Beliau berkata ia terletak di kawasan strategik kerana pelancong dari Asia boleh melawat kedua-dua taman tema yang terletak berhampiran antara satu sama lain.
Secara kebetulan juga, gerai Legoland Malaysia terletak hampir dengan gerai Universal Studio di ATF.
Thilakavathy berkata ATF, pameran perdagangan pelancongan terulung Asean telah menjadi platform baik untuk Legoland Malaysia mencipta kesedaran dan promosi.