Lebih sejuta rakyat Malaysia melancong ke Indonesia bagi Januari-September

Bernama
November 6, 2016 19:19 MYT
Destinasi pelancongan paling diminati rakyat Malaysia ialah Jakarta, Bandung, Bali dan Yogyakarta. - Foto Wikipedia
Sejumlah 1,006,583 rakyat Malaysia telah melancong ke Indonesia bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Timbalan Pengarah Bahagian Festival Rantau Asia Tenggara, Kementerian Parawisata (Kemenpar) Indonesia, Eddy Susilo berkata destinasi pelancongan paling diminati rakyat Malaysia ialah Jakarta, Bandung, Bali dan Yogyakarta.
"Indonesia menyasarkan dua juta pelancong dari Malaysia tahun ini... masih ada kira-kira sebulan lebih lagi sebelum hujung tahun dan yakin sasaran dua juta pelancong dari Malaysia itu mampu dicapai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program 'Wonderful Indonesia' di Aruk yang terletak berhampiran Biawak, sempadan Malaysia-Indonesia, kira-kira 110 kilometer dari Kuching, Sarawak, hari ini.
Perasmian program itu disempurnakan oleh Bupati Sambas, Atbah Romin Suhaili. Turut hadir Konsul Penerangan, Sosial dan Budaya Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching, Marisa Febriana Wardani.
Program 'Wonderful Indonesia' itu bertujuan menarik pelancong dari Sarawak khususnya yang tinggal berhampiran kawasan perbatasan tersebut.
Ketika ditanya jika ada cadangan untuk diwujudkan penerbangan terus dari Kuching ke Bandung, Eddy berkata idea itu sangat menarik untuk diterjemahkan.
"Penerbangan terus dari Kuching ke Bandung memang belum ada... kami mendukung idea untuk mengembangkan laluan penerbangan dari negara ini (Malaysia) ke Indonesia, apa yang perlu sekarang diperbanyakkan promosi mengenai Bandung di Kuching. Saya kira Bandung sudah cukup bersedia untuk menerima pelawat dari segi infrastruktur ataupun aktiviti-aktiviti yang sememangnya banyak," katanya.
Sementara itu, Atbah Romin dalam ucapannya berharap program itu akan menjadikan Sambas sebagai daerah pelancongan yang akan memberikan keuntungan kepada penduduk di perbatasan lebih-lebih lagi apabila menerima kunjungan pelancong dari Malaysia .
Marisa Febriana dalam ucapannya berkata pemerintah Indonesia menggalakkan 'pelancongan rentas sempadan' termasuk dari Sarawak.
"Kami berharap media besar di Sarawak dan Malaysia seperti Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) dapat membantu dan seterusnya mengajak rakyat Malaysia ke destinasi pelancongan yang dimiliki di Aruk ini," katanya.
-- BERNAMA
#Bali #Indonesia #Jakarta #pelancongan #rakyat Malaysia #Wonderful Indonesia #Yogyakarta
;