Lebih 300 Tenun Pahang Diraja bakal dipamer di London Craft Week
Eton Khir
Mac 11, 2022 20:17 MYT
Mac 11, 2022 20:17 MYT
KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengetuai delegasi negara ke pameran tekstil tenun di London Craft Week (LCW) yang bermula 9 sehingga 15 Mei depan.
Pameran bertemakan "Weave With Hope" itu antara lain mempamerkan lebih 300 Tenun Pahang Diraja, hasil kerja tangan banduan sekali gus sebagai usaha mempromosikan produk kraf tempatan di luar negara.
London Craft Week itu akan turut disertai lebih 250 pereka dan jenama terkenal dari seluruh dunia untuk mempamerkan produk mereka.
Menurut Pemegang Amanah Yayasan Tenun Pahang Diraja, Datin Tengku Marina Tengku Ibrahim, ini merupakan penyertaan julung kali Malaysia dalam festival itu.
"Tuanku memang bersemangat untuk mempamerkan tenun dari penjara. Baginda sangat berbangga dengan hasil yang dikeluarkan oleh Penjara Penor dan Penjara Bentong," katanya ketika sidang media Minggu Kraf London (LCW) di Istana Negara pada Jumaat.
Pada masa sama, Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal berkata seorang bekas banduan akan turut menyertai festival berkenaan untuk demonstrasi pembuatan tenun yang istimewa tersebut.
"Prospek delegasi mempamerkan tradisi Tenun Pahang itu disifatkan sebagai membawa Penjara Penor dan Penjara Bentong ke London sekali gus memberi sinar dan peluang pekerjaan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan di luar setelah tamat perintah hukuman di penjara kelak," katanya.
Pameran Tenun Pahang Diraja, yang mempamerkan potongan tekstil hasil banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong itu akan diadakan di Bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London.