Lebih 21,000 sertai Walkaton D'raja Kelantan 2016

Muhafandi Muhamad
Oktober 29, 2016 08:36 MYT
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V mencemar duli berjalan kaki bersama rakyat pada program Walkaton D'Raja Kelantan 2016 bertemakan 'Let's Go With Me' malam tadi. - Foto Bernama
Lebih 21,000 peserta malam tadi menyertai Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berjalan sejauh tujuh kilometer dalam acara Walkaton D’Raja Kelantan 2016, ‘Let’s Go With Me’ yang diadakan di sini.
Program yang memasuki edisi kelima anjuran Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan Al-Muhammadi itu menampilkan kelainan kali ini apabila diadakan pada sebelah malam, berbanding sebelah petang dalam edisi-edisi terdahulu.
Perasmian walkaton disempurnakan oleh baginda Tuanku, sebelum acara perlepasan peserta dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Acara yang bermula jam 10 malam bermula dari Stadium Sultan Muhammad IV, sebelum melalui jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Hamzah, Jambatan Sultan Yahya Petra, Pasir Pekan, dan berakhir di stadium yang sama.
Menurut bendahari Pertubuhan Kerabat D’raja Kelantan Al-Muhammadi, Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissal, walkaton ini diadakan setiap tahun sejak Sultan Muhammad V menaiki tahta bagi mendekatkan rakyat Kelantan dengan baginda.
Turut menyertai acara ini ialah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Ismail, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Selain walkaton, program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain seperti persembahan kebudayaan dan pertunjukkan bunga api.
#Stadium Sultan Muhammad IV #Sultan Kelantan #Sultan Muhammad V
;