LCW: Samri dan Maznah teruja, bangga perkenal keunikan seni kraf ke mata dunia di London
Bernama
Mei 14, 2023 07:00 MYT
Mei 14, 2023 07:00 MYT
LONDON: Teruja dan bangga dapat memperkenalkan keunikan ukiran kayu dan kehalusan anyaman seni kraf masyarakat Orang Asli Mah Meri, di kota raya ini yang terkenal dengan seni kreatifnya, A. Samri Abdul Rahman dan Maznah Unyan mahu memastikan seni warisan kaum itu tidak lapuk ditelan zaman.
Adiguru Ukiran Patung Mah Meri, Samri, 48, sebagai penyambung legasi pembuatan topeng dan ukiran patung tradisi yang mengekalkan identiti kaum itu, merupakan antara tujuh pakar kraf yang diterbangkan ke metropolitan ini bagi memperlihatkan penghasilan kraf masing-masing di Pavilion Antarabangsa Malaysia sempena Minggu Kraf London 2023.
Pakar anyaman, Maznah, 55, turut dibawa untuk mempersembahkan seni anyaman daun nipah, daun kelapa dan mengkuang pandan, satu aktiviti sangat rapat dengan kaum wanita Mah Meri pada pameran edisi kedua yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi London di Belgrave Square itu.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mengetuai delegasi Malaysia dalam pameran bertema 'Abstract Nature: Malaysia's Heritage Crafts' berlangsung pada 6 hingga 14 Mei itu, menampilkan seni kraf dan produk warisan yang memaparkan landskap budaya Malaysia melalui keunikan tradisi kraf dan produk warisan masyarakat tempatan khususnya Melayu, Orang Asli Semelai dari Pahang, Mah Meri (Selangor) di Semenanjung Malaysia serta suku kaum etnik Orang Asal di Sabah dan Sarawak.
Ditemui Bernama semasa memperlihatkan kemahiran mengukirnya, Samri yang berasal dari Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey, di Selangor ternyata menjadi perhatian pengunjung berikutan kemahirannya mengukir bongkah kayu menjadi patung unik dan mempunyai cerita tersendiri dalam sejarah masyarakat Orang Asli itu, yang majoritinya menetap di pesisir pantai Selangor.
Mula bergiat dengan seni ukiran patung sejak berusia 23 tahun dan berguru dengan bapa saudaranya, Pion Anak Bumbung dan sepupunya yang dikenali sebagai Husin di kampung mereka, Samri terus menyerlah dan pernah beberapa kali ke luar negara mengikuti pameran seni kraf dan produk warisan.
Bapa kepada dua orang anak perempuan itu telah dua kali mengadakan demonstrasi ukiran patung dan topeng Mah Meri di Paris selain terlibat dalam ekspo kraf di Shanghai, Bangkok, Bali dan London.
"Seronok dan minat menjadikan saya terus berkarya menghasilkan seni ukiran warisan nenek moyang saya. Saya mahu kemahiran ini terus kekal kepada generasi muda kaum Mah Meri dan ia sebenarnya boleh menjana pendapatan," katanya merujuk kepada ukiran berbentuk 'S' yang pertama dihasilkannya dan dijual dengan harga RM25 pada awal pembabitannya.
Menyifatkan kedatangannya di London, selepas kali pertama pada 2012 semasa menyertai pameran kraf di Southbank, sebagai satu peluang untuk terus memperkenalkan seni kraf dan produk warisan tradisi kaum Mah Meri kepada dunia.
Menjunjung kasih kepada Tunku Azizah atas undangan dan perkongsian ilmu seni dan setinggi-tinggi perhargaan kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Samri berkata inisiatif dan kesungguhan Raja Permaisuri mengangkat martabat seni kraf, produk warisan dan budaya khususnya bagi penduduk pribumi adalah satu usaha murni demi memastikan seni kraf dan produk berkaitan kekal sehingga generasi hadapan.
Pada pameran itu, Samri, yang asyik mengukir patung 'moyang harimau berantai' unik dengan rantai dan bola geliga menjadi perhatian pengunjung termasuk tetamu diraja, orang kenamaan, pemimpin dan pereka.
Dengan satu tangan memegang bongkah kayu nyireh batu dan sebelah lagi memegang pahat mengukir, sambil berbual dengan penulis, Samri ternyata cekap dan membuktikan kemahirannya.
Samri, yang mempunyai bengkel dan pusat penjualan seni ukiran kayu di Pulau Carey, berkata ratusan ukiran patung telah dihasilkannya seperti ukiran moyang harimau berantai, simpai sauh, harimau kuku panjang, moyang sauh, topeng moyang belangkas, topeng lumba, setiap satunya yang mempunyai motif dan cerita tersendiri.
Senada dengan titah Tunku Azizah mengenai kemahiran seni kraf dan produk warisan mesti dipulihara dan dipelajarai generasi muda, Samri berkata ketika ini kira-kira 20 belia Mah Meri termasuk menantunya mula berjinak-jinak mempelajari dan mengasah kemahiran mengukir.
"Kita tahu mengukir ini boleh menambah pendapatan dan dilakukan pada bila-bila masa, ikut mood dan waktu senggang... jadi selepas berkebun dan buat kerja lain, bila lapang kita boleh mengukir," katanya yang juga berkebun sawit, namun masih boleh menghasilkan sekurang-kurangnya dua ukiran sebulan, bergantung kepada saiz, reka bentuk dan masa.
Sementara itu, Maznah, yang merupakan pakar anyaman berkata beliau mempelajari seni itu daripada ibunya dan saudara-mara sejak berusia 11 tahun.
Beliau menghasilkan anyaman perhiasan sama ada hiasan diri seperti dendan (baju), songkok (headband), rantai, skirt serta bunga hiasan yang bermotifkan pelbagai sumber alam serta bunga seperti bunga jering dan tampuk manggis.
Maznah, yang turut mempunyai bengkel dan pusat anyamannya di Sungau Bumbun, Pulau Carey berkata kemahiran anyaman origami hiasan Mah Meri seperti burung, udang, ikan lumba-lumba, bunga telur dan perhiasan diri adalah warisan turun-temurun nenek moyang mereka.
Pada pameran di London, selain menunjukkan demonstrasi menganyam, Maznah turut mengadakan bengkel menganyam daun nipah dan mengkuang yang disertai pengunjung.
Antara orang kenamaan yang menunjukkan minat dalam seni anyaman Mah Meri termasuklah Pengerusi London Craf Week Guy Salter, Presiden The Women's Council (TWC) Lady Doris Butterworth dan pengerusinya Dr Rajni Rijal serta anggota TWC.
-- BERNAMA