Larian 10 km menjadi mudah dengan teknik ini

Maskulin
Januari 16, 2022 11:15 MYT
Mulakan larian dengan perlahan dan langkah kaki lebih kecil. - Gambar hiasan
BUAT anda yang baru berjinak-jinak atau masih lagi merasakan sebagai ‘beginner’ dalam aktiviti larian pastinya ingin melakukan larian sejauh 10 kilometer atau lebih dikenali dengan gelaran ’10K’.
Tidak mudah untuk melakukan larian pada jarak tersebut jika anda masih lagi baharu dan tidak biasa.
Latihan larian dan membina stamina perlu dilakukan sebaiknya. Apatah lagi jika anda ingin membina kelajuan larian yang baik dari semasa ke semasa.
Untuk anda yang sudah berusia 30 tahun ke atas, boleh ikuti teknik larian berikut.
Sebenarnya tiada jalan pintas untuk melakukan larian 10 km dengan baik.
Namun terdapat beberapa faktor sangat penting yang boleh mempengaruhi prestasi larian anda, sekaligus membolehkan larian pada jarak tersebut boleh dilakukan dengan baik.
PANASKAN BADAN
Sebelum mula lakukan larian sebaiknya anda panaskan badan terlebih dahulu. Jika terus mula berlari dirisaukan kaki anda boleh ‘terkejut’ dan berlakunya kekejangan otot.
KASUT SESUAI
Kasut lama anda sudah ketat atau tapaknya sudah hilang cengkaman? Tukar sahaja kepada kasut baharu.
Ini kerana kasut yang ketat atau tidak cengkam boleh menyebabkan berlakunya kecederaan seperti melecet. Pakai kasut larian yang 'true-to-size' dengan kaki anda.
MULAKAN DENGAN PERLAHAN
Ingat, anda sudah lama berehat daripada berlari. Jadi mulakan larian dengan perlahan dan langkah kaki lebih kecil.
Ini bagi mengurangkan risiko kaki mudah sakit dan cedera. Perlahan tetapi konsisten.
CARA PERNAFASAN
Bagi menikmati larian yang lebih lama dan jauh anda perlu berlari dengan mengamalkan teknik pernfasan dengan baik.
Paling penting elakkan kepada anda tunduk ke bawah semasa berlari. Dan janganlah juga terlalu mendongak ke atas.
JAGA KELAJUAN LARIAN
Salah satu cara untuk mendapatkan larian berkualiti dan jarak lebih jauh ialah menjaga kelajuan larian.
Jika semasa berlari nafas anda tidak tercungap-cungap itu bermakna anda melakukannya dengan betul dan baik.
Jika berasa seperti tidak cukup nafas perlahankan sedikit larian dan kembalikannya dengan betul.
USAH GELOJOH
Sesetengah orang terlalu teruja dan gelojoh melakukan larian hingga tidak sedar bahawa badan mereka tidak bersedia untuk larian lebih jauh atau laju.
Buat permulaan, fokus kepada sejauh mana anda boleh berlari kerana pembakaran kalori itu juga bergantung kepada jarak larian dan kadar denyutan jantung.
Semoga perkongsian ini mampu membantu anda mendapatkan larian yang lebih baik di masa akan datang.

* Artikel asal disiarkan di Maskulin.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!

#larian #teknik #pernafasan #panaskan badan
;