Larang anak guna media sosial cetus jiwa memberontak
Azyyati Ahmad
Ogos 28, 2013 08:30 MYT
Ogos 28, 2013 08:30 MYT
Pendedahan anak-anak generasi masakini kepada media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram sememangnya perkara tidak asing lagi dalam kehidupan mereka.
Malah ada kajian mengatakan ibubapa yang melarang anak-anak daripada menggunakan media sosial ini boleh mencetuskan jiwa memberontak.
Secara umumnya, memang wujud perbezaan dari segi pendapat, idea, keinginan, pemikiran antara ibu bapa dan anak remaja.
Jurang ini boleh menjejaskan hubungan antara ibubapa dan anak remaja.
Menurut Ketua di Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Dr. Zainal Madon, apa jua perkara yang disekat sama ada keperluan atau kehendak remaja akan menimbulkan ketidakpuashatian, ketegangan dan konflik di antara ibubapa dan anak.
“Konflik ini ditunjukkan melalui pelakuan memberontak sama ada secara terbuka mahu pun senyap-senyap” katanya ketika dihubungi pemberita.
Zainal turut menyatakan bahawa dunia media sosial masakini bagai sudah menjadi sebahagian cara hidup generasi muda.
“Perbezaan dan konflik mungkin terjadi dari segi penggunaan masa, tempoh masa, jenis bahan, kekerapan, gangguan jadual harian, pengabaian tugasan sekolah, peniruan dan pelbagai perkara lagi” katanya lagi.
Zainal menegaskan pentingnya 3P iaitu pengawalan, pemantauan dan pendidikan dalam mengawasi anak-anak.
Ini boleh membantu membimbing remaja untuk menggunakan media secara bertanggungjawab dan berdisiplin.
Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Prof. Dr Bustam Kamri pula berkata mendidik anak perlu dirancang seawal mungkin dan anak-anak perlu diasuh mengikut fitrahnya sejak lahir lagi.
”Ibu bapa yang tidak mempunyai latar pengetahuan dan mudah terpengaruh dengan idea dan gimik komersial akan meletakkan media eletronik sebagai pendedahan utama berbanding dengan perkara asas yang sepatutnya didedahkan lebih awal seperti kemahiran deria asas iaitu sentuhan, hidu, lihat, dan rasa” tambahnya lagi.
Apabila telah menjadi kelaziman kepada kanak-kanak menggunakan media eletronik mereka sudah tentu akan memberontak dan memprotes kerana kegemarannya dihalang oleh ibubapa daripada menggunakannya.
“Mengimbangkan aktiviti lebih baik daripada melarang secara total penggunaan media eletronik” kata Bustam diakhir bicara.
Bekas mufti Perlis, Prof. Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika dihubungi menyatakan bahawa penggunaan media sosial merupakan perkara realiti di era ini.
“Sebagai ibubapa kita perlu terima perkara realiti yang sedang berlaku pada generasi sekarang dan menafikan hak mereka maksudnya mereka bakal membesar dengan keadaan buta realiti” katanya lagi.
Mohd Asri turut menyamakan situasi ini dengan situasi di awal penggunaan televisyen pada zaman 50-an dahulu.
“Semasa kemasukkan televisiyen dahulu, ramai yang turut bimbang akan pengaruhnya terhadap anak-anak”
“Jangan mengharamkan penggunaan media sosial kepada anak-anak, sebaiknya tingkatkan ketegasan dalam pantau kegiatan mereka” tambah Mohd Asri lagi.
Mohd Asri turut menasihati ibubapa agar mendidik anak-anak dari awal menggunakan gajet atau komputer di ruang terbuka, agar kegiatan mereka dapat diperhatikan terus oleh ibubapa.