Lapar selepas bersorak untuk Harimau Malaya? Restoran halal ini menanti anda di Hanoi!

Asyraf Roslan
Disember 14, 2018 15:13 MYT
Pelbagai hidangan menarik boleh anda cuba ketika berada di Hanoi, Vietnam. - Instagram/@DeinAfi,@davidthefoodie
PASTI anda akan merasa teruja apabila ingin berkunjung ke luar negara.
Dan sudah pasti juga, banyak perancangan yang akan dilakukan untuk memastikan segalanya berjalan lancar, dari aspek penginapan sehinggalah ke lokasi tarikan, hinggalah ke hentian untuk menjamu selera.
Bersempena pusingan kedua perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Vietnam pada Sabtu (15 Disember), Astro AWANI ingin berkongsi lima restoran halal yang boleh anda kunjungi sewaktu berada di Hanoi,Vietnam.
Semua cadangan ini dan banyak lagi boleh anda kunjungi pada sebelum, semasa atau selepas hari perlawanan. Gunakanlah telefon pintar dengan mod perayauan antarabangsa di tangan anda. Pastinya ia boleh dimanfaatkan untuk membantu pergerakan anda.
RedHouse
Kalau anda ingin makan makanan tradisional Vietnam dan Singapura yang sedap, apa kata anda berkunjung ke RedHouse Hanoi yang pasti akan memberikan satu pengalaman yang sangat menarik untuk anda.
Antara yang menarik yang anda boleh dapati di sana ialah nem cuon atau goi cuon (salad popia) dan juga anda perlu rasa makanan lautnya yang sangat sedap seperti Singaporean chilli crab, baby squid, dan nasi goreng seafood.
Untuk ke restoren RedHouse, anda hanya perlu ke alamat ini: 6 Hàm Long, Phan Chu Trinh, Hoàn Kiếm, Hà Nội, Vietnam. RedHouse dibuka pada pukul 9.30 pagi sehingga 2 petang sebelum mereka menyambung kembali beroperasi pada 4.30 petang.
Namaste
Jika mencari makanan dengan pengaruh rempah ratus India, sila ke resotran ini. Jika di Malaysia, kita juga sudah terbiasa dengan makanan seperti roti canai dan roti naan. Jadi, kunjungan ke Namaste untuk menikmati makanan seumpamanya pasti tidak terasa asing.
Jika anda ingin berkunjung ke Namaste anda boleh pergi ke alamat ini 46 Thợ Nhuộm, Trần Hưng Đạo, Hoàn Kiếm, Hà Nội, Vietnam dan memuaskan keinginan selera Asia Selatan anda.
1001 Nights
Kalau anda berminat untuk merasai makanan Asia Barat di Vietnam, apa kata anda singgah di restoran 1001 Nights untuk mengisi perut dengan hidangan lazat seperti ayam dan daging panggang dan dihidang dengan nasi mandy atau khabsa. Mungkin juga anda meminati hummus, roti bawang putih, tabouleh dan sebagainya.
1001 Nights terletak di 37 Xuân Diệu, Quảng An, Tây Hồ, Hà Nội, Vietnam dan tamat beroperasi pada pukul 1 pagi. Mungkin, dengan operasi malam yang lebih panjang ini, anda bersama teman-teman ataupun keluarga sempat untuk datang dan mula membuat pesanan.
Restoran Dlion
Jika keinginan 'tekak' anda tetap mahu mencari makanan Melayu, jangan risau. Anda boleh mencari restoran Dlion yang terletak bersebelahan Stesen Kereta Api Hanoi dan bertentangan dengan Mercure Hanoi Hotel.
Dibuka dari jam 10 pagi sehingga 10 malam, restoran ini menyediakan masakan halal ala Vietnam, Malaysia, dan Singapura.
Hidangan yang mesti dicuba adalah seperti pho, Vietnamese spring roll atau masakan yang disediakan dalam periuk kecil menerusi pilihan hot pot. Bagi penggemar ketam, cuba hidangan ketam masak pedas yang dimakan bersama kepingan baguette. Sebagai pelengkap, nikmati juadah itu semua dengan menghirup susu kocak kopi dan teh tarik.
Cafe Đinh
Kalau anda seorang pencinta kopi, apa kata anda singgah ke Cafe Đinh kerana mereka menyajikan kopi Vietnam yang sangat sedap pada harga yang berpatutan. Sesudah penat bersiar-siar keliling kota Hanoi, hargai saki-baki detik percutian anda dengan menghirup kopi yang beraroma istimewa.
Cafe Đinh beroperasi seawal 7.30 pagi dan terletak di alamat 13 Đinh Tiên Hoàng, Hàng Trống, Hoàn Kiếm.
Semoga maklumat ini dapat serba sedikit menjadi panduan gastronomi anda ketika berada di Hanoi. Teruskan menyokong skuad Harimau Malaya di mana jua kita berada.
#WeBelangTogether!
#Hanoi #makanan #makanan halal #Malaysia #pelancong #pelancongan #Vietnam #WeBelangTogether
;